PRESIDEN baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, tidak dinafikan seorang yang kuat bekerja, pemurah dan tidak mengenal lelah.
Bagi pemerhati yang mengikuti perkembangan semasa, sama ada dalam dunia politik mahupun sukan, mereka maklum bahawa Subahan menitikberatkan kebajikan dan tidak kekok melawan arus.
Penulis bertemu kali pertama dengan Subahan bukan dalam dunia sukan. Sebaliknya di lobi Parlimen ketika penulis membuat liputan Parlimen untuk Berita Harian pada 1996, manakala beliau menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Afifuddin Omar, waktu itu Ahli Parlimen Padang Terap.
Aktif selaku ketua Biro Pengaduan Awam dan Kebajikan Pergerakan Pemuda Umno, wajah Subahan terpampang di dada akhbar, khususnya The Malay Mail lama sebelum beliau terpilih selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer untuk satu penggal. Juga sebelum beliau menjadi penolong pengurus pasukan Liga Super Selangor.
SK, seperti yang disebut beliau, sesungguhnya bukan sekadar akronim namanya, bahkan membawa makna Suka Kerja!
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan, Subahan menjadi eksekutif korporat di Bank Rakyat, sebelum menjadi pegawai khas pengerusi bank itu, iaitu Dr Afifuddin.
Dipilih sebulat suara menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai presiden FAS minggu lalu, Subahan bingkas mengeluarkan beberapa kenyataan yang membuka mata semua pihak.
Paling “win” - “Bagi 10 kerja pun saya boleh buat,” katanya kepada media sejurus dipilih dalam mesyuarat agung FAS minggu lalu.
Selain Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang kini mengintai slot selaku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subahan tokoh korporat disegani yang terbabit dalam urusan pembinaan, pendidikan dan latihan, pembangunan hartanah serta pemprosesan makanan.
Anak jati Selayang berusia 52 tahun itu pemilik syarikat pembinaan Nadi Cergas, pengarah bebas bukan eksekutif The New Straits Times Press Berhad (NSTP) selain pengerusi bebas bukan eksekutif Can One Berhad dan Wawasan Qi Properties Sdn Bhd, serta berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah Kian Joo Berhad. Ternyata beliau memang boleh buat 20 kerja pun!
Nadi Cergas pula diberi kontrak membina ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) setinggi lima tingkat di Putrajaya.
Ditanya mengenai keputusan bertanding sebagai timbalan presiden FAM selepas tewas satu undi untuk jawatan naib presiden yang disandangnya, Subahan memberi jaminan beliau bukan Yes Man!
“Track record” Subahan memang sedemikian. Sebagai pengerusi Biro Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda Umno, Subahan berani membawa isu sensitif, termasuk kritikan pedas terhadap Kementerian Kesihatan yang didakwanya lembap dalam mengendalikan Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan.
Ramai juga masih menghargai sumbangan Subahan selaku pengurus pasukan kebangsaan. Gandingannya dengan Datuk K. Rajagobal selaku ketua jurulatih membawa pulang emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010.
Namun cabaran Subahan bukan berkisar kepada dunia FAM atau tugasan korporatnya.
Biarpun kaya tradisi dan gelaran, FAS masih mundur dari segi inisiatif, inovasi dan insentif.
Sekalipun ada tanda-tanda bekas presiden Mohamed Azmin berusaha membawa transformasi, usaha itu terbantut apabila Subahan bersama penyokong-penyokongnya dalam exco FAS memulau mesyuarat Ogos lalu atas sebab-sebab tertentu yang akhirnya membawa kepada peralihan kuasa ini.
Kini dayung sudah ada di tangan Subahan.
Meneliti senarai kepimpinan FAS, jelas Subahan ada idea menyuntik pengurusan ala korporat dengan membawa masuk Ketua Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, Ketua Eksekutif Daya Material Berhad, Datuk Lim Thean Shiang, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani serta input bekas pemain seperti Abdul Rauf Ahmad yang kini menjadi ahli perniagaan berjaya, serta dua bekas pemain tengah, Nazzab Hidzan dan K. Sanbagamaran.
Barisan kepimpinan FAS 2017-2021 ini tiada jalan lain kecuali membawa unsur profesional dan penswastaan kepada pasukan dan juga urus tadbir persatuan dan tidak sekadar bergantung kepada seorang dua di urusetia!
Ketokohan Subahan dalam menerajui KHM tergambar menerusi pelan induk yang sedang dilaksanakan oleh Ketua Eksekutifnya, K. Logan Raj. Siapa pula orang kanan Subahan di FAS nanti yang sanggup bangun awal pagi membalas mesej, membuat kertas kerja, memerah otak dan menjawab emel?
Juga dalam mengisi kantung FAS, sambil membayar gaji lumayan kepada pemain, Subahan dan rakan-rakannya jangan lupa membayar semula pemiutang, termasuk beberapa bekas pemegang jawatan yang mengeluarkan wang mereka sendiri.
Ternyata bukan Subahan seorang sahaja yang pemurah!
Rencana
SK, 10 kerja dan yes man!
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena