Apa yang dilakukan kedua-dua pelari itu berjaya menarik minat banyak pihak untuk berbicara mengenai olahraga dan keadaan pasti lebih menarik jika mereka berentap di trek balapan.
Ada rakan yang mencadangkan agar Watson-Badrul berentap dalam perlumbaan amal dan saya ketawa mendengarnya.
Ketika memandu pulang ke rumah, saya terfikir alangkah baiknya jika perlumbaan itu berlaku.
Bukan soal siapa lebih hebat kerana Watson sudah berusia 39 tahun sementara Badrul, 18 tahun.
Tetapi, ini soal pemasaran dan jenama olahraga yang perlukan wira untuk menarik peminat ke stadium.
Kedua-dua pelari itu ikon olahraga dan mereka sepatutnya jadi modal terbaik Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), sama seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy), Pandelela Rinong (terjun) dan Azizulhasni Awang (basikal trek).
Saya pernah membuat liputan Sukan Olimpik London 2012 dan suasana di Stadium Olimpik Queen Elizabeth Olympic Park, cukup mengagumkan.
Bayangkan selama sembilan hari acara olahraga berlangsung, venue berkapasiti 60,000 tempat duduk itu sentiasa penuh.
Bayangkan tiap-tiap hari!
Sememangnya olahraga berhak dapat jolokan ibu segala acara Olimpik, bukannya bola sepak, badminton atau hoki.
Berbalik kepada Watson dan Badrul, saya harap pertembungan itu berlaku.
Tidak kira siapa lebih pantas tetapi ia pasti mencipta sejarah - pertembungan Raja Pecut era berbeza.