RENCANA
Siapa nak pergi Rio?
Skuad angkat berat dilanda debaran paling hebat ketika ini.
Beribu persoalan mengenai atlit mana paling layak dapat tiket tunggal ke Sukan Olimpik Rio 2016.
8 atlit berjuang mengumpul mata untuk memastikan Malaysia raih tangga ketiga Kejohanan Kelayakan Asia di Uzbekistan yang baru tamat, namun hanya seorang saja yang akan pergi ke Rio.
Iklan
Tiga nama dikaitkan sebagai calon pilihan.
Mohd Hafifi Mansor (69kg), Terengganu.
Atlit kesayangan peminat Terengganu ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Juara Sukan Komanwel, menyumbang 25 mata di Uzbekistan, pemegang rekod kebangsaan dan paling berpengalaman.
Catatan peribadi terbaik Hafifi, 325kg untuk menghuni ranking ke-15 dunia.
Hafifi juga dikenali sebagai atlit berhati waja biarpun panas baran kerana beberapa kali berselisih faham dengan bekas pengendali negara.
Malah, dia juga dikatakan berdepan masalah dengan jurulatih kebangsaan ketika ini, Lukman Junarto.
Tetapi kalau dilihat semula, bintang sukan dunia selalunya memiliki masalah keperibadian dan ia juga antara faktor menyumbang kejayaan mereka.
Zulhelmi Md Pisol (56kg), Pulau Pinang.
Diam-diam ubi berisi.
Nama Zulhelmi meletop ketika raih perak Sukan Komanwel Glasgow 2014, namun selepas itu kembali suam-suam kuku.
Prestasinya juga tidak begitu menyerlah di Uzbekistan apabila sekadar menghuni tangga ke-16 daripada 18 atlit yang mengambil bahagian. Namun, dia tetap berjaya menyumbang 17 mata.
Bagaimanapun, peluang Malaysia lebih baik dalam kategori ini dalam beberapa temasya sukan besar kerana saingan lebih rendah.
Loro Welkinson (77kg), Sabah.
Kurang ternama, kurang pengalaman namun memiliki masa depan cerah.
Welkinson dikatakan masa depan angkat berat Malaysia dan dia juga pernah catat rekod kebangsaan dalam kategori Hafifi.
Di Uzbekistan, prestasinya hampir setaraf Hafifi apabila menyumbang 22 mata dan turut memecah rekod kebangsaan.
Begitupun, dia masih hijau di kejohanan besar dan dikhuatiri gagal mengawal rasa gementar di Rio.
Jadi, ada tiga calon iaitu dari Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah.
Hanya seorang akan ke Rio...
Must-Watch Video