Sepak mula Liga Super Malaysia akan berlangsung dengan pertemuan di antara juara Piala Malaysia, Kedah, dan juara Liga Super serta Piala FA, Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih).
Pertemuan yang dinanti-nantikan oleh kedua-dua penyokong mereka selain peminat-peminat bola sepak tanah air. Kedua-dua pasukan ini telah membuat persiapan yang begitu rapi untuk menghadapi saingan Liga Super 2017.
Namun, sebelum sepak mula Liga Malaysia, berlaku pelbagai polemik di antara orang kuat JDT dan pihak-pihak tertentu tetapi itu adalah hanya strategi pemasaran yang dilihat oleh penulis bagi menarik perhatian umum untuk mengekalkan jenama JDT itu sendiri selain menghangatkan lagi permulaan Liga 2017.
Dalam kemeriahan setiap pasukan membuat persedian bagi menghadapi saingan liga pada tahun ini, masih ada lagi pasukan yang tidak mematuhi atau menghormati undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur, iaitu FMLLP.
Masih ada lagi pasukan yang lewat dan tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh penganjur.
Sampai bila sikap sebegini perlu ada dalam mentaliti pengurusan dan segelintir pemain yang melanggar perjanjian sedangkan bola sepak kita dikatakan sudah berada dalam era profesional?
Apakah mereka sudah lupa bahawa bola sepak ini adalah sukan yang mementingkan integriti selain mendidik seseorang itu bijak dalam urusan masa.
Jika kita tidak mengubah cara kita bekerja, bagaimana kita ingin mendidik generasi akan datang?
Itulah hakikat bola sepak kita.
Walau bagaimanapun, kemeriahan liga bola sepak kita masih lagi terasa, dengan semua pasukan telah melancarkan jersi-jersi baharu pasukan tahun ini.
Yang terus menjadi perhatian sudah pasti pertemuan di antara JDT dan Kedah dalam perlawanan sumbangsih sebagai pembuka tirai musim baru.