Skip to main content

Rencana

Siapa juara dunia sebenar

england-2.jpg
Empat tahun sekali akan ada keterujaan berbeza apabila hadirnya perebutan piala keramat bola sepak, Piala Dunia.

Seperti yang sudah dibuktikan, Malaysia tidak terkecuali memiliki keinginan sama untuk mendampingi pasukan terbaik dunia.

Selagi Harimau Malaya tidak layak ke pentas kemahsyuran ini, selagi itu peminat bola sepak tanah air akan memandang kepada sentimen semangat kekitaan dengan mengangkat pasukan tertentu.

Usah dinafikan.

Yang menyokong Perancis mungkin langsung tidak memandang kepada saingan Ligue 1.

Menjulang Die Mannschaft belum tentu ikut Bundesliga.

Sepanyol dan La Liga, barangkali ada ikutan atas dasar perseteruan hebat El Clasico membabitkan Messi FC (Barcelona) dan Real Madrid.

Sementara tulen Forza Italia sedang dalam landasan kebangkitan semula menerusi Serie A yang bakal dimeriahkan dengan kehadiran Cristiano Ronaldo.

Tetapi, pada penghujung harinya, dunia akan berpaksikan kepada saingan Liga Perdana Inggeris.

Apakah salah menyokong pasukan tertentu sekalipun tidak mengikuti liga domestik mereka? Sama sekali tidak, kata orang, hati dah suka.

Kadang sukar untuk mendapatkan akses kepada liga-liga berikut atas faktor tuntutan masyarakat umum.

Bagaimana pula yang menyokong pasukan seperti Iceland atau Croatia? hampir mustahil untuk mengikuti perkembangan liga mereka di Malaysia.

Pengiktirafan kepada mereka kerana berupaya mencuri hati dunia menerusi aksi mengujakan dan semangat juang tinggi.

Brazil? ini pasukan tradisi, dengar sahaja nama sudah boleh berimaginasi terhadap corak permainan samba yang menjadi legasi ikon daripada Pele dan hari ini Neymar.

Inilah yang dikatakan indahnya Bola Sepak.

Hakikatnya statistik tidak ada tipu helah.


Perancis lwn Croatia di Final Piala Dunia 2018. 

Hugo Lloris-Tottenham Hotspur  (EPL)

Benjamin Pavard-VFB Stuttgart (BUNDESLIGA)

Samuel Umtiti-Barcelona (LA LIGA)

Rafael Varane-Real Madrid (LA LIGA)

Lucas Hernandez-Atletico Madrid (LA LIGA)

Kylian Mbappe-PSG (LIGUE 1)

Paul Pogba-Manchester United (EPL)

Ngolo Kante-Chelsea (EPL)

Blaise Matuidi-Juventus (SERIA A)

Antoine Griezmann-Atletico Madrid (LA LIGA)

Olivier Giroud-Chelsea (EPL)

Hanya seorang pemain sahaja, Mbappe, yang beraksi di Ligue 1, selebihnya memperhalusi kerjaya di empat liga terbesar Eropah.

Bagaimana pula skuad Belgium di Rusia 2018? 23 pemain disenaraikan 11 daripada mereka menempa nama di England.

Menyentuh soal England, The Three Lions satu-satunya pasukan di mana kesemua pemain yang tampil di Piala Dunia beraksi di liga domestik sendiri.

Kalau Itali ada dalam Piala Dunia, percayalah keseluruhan pemain yang akan dipilih adalah dalam kalangan mereka yang mengerah keringat di Serie A.

Ini saya menyifatkan sebagai unik.

Saya tidak pernah menyembunyikan keghairahan saya kepada bola sepak Inggeris, semangat kekitaan atau "Sense of Belonging" saya bersama mereka.

Siapa juara dunia sebenar? Perancis adalah jawapannya, tahniah Les Bleus!

Tetapi percayalah, menjengah Ogos, 90 peratus daripada penyokong Bola Sepak Malaysia akan kembali menegakkan perseteruan bersandarkan kesetiaan kepada Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Chelsea.

Advertisement

Must Watch Video