Skip to main content

Rencana

Siapa bakal merangkul kejayaan di WWE Royal Rumble 2020?

royal-rumble-2020-1.jpg
Acara tahunan yang paling dramatik dan amat ditunggu-tunggu oleh WWE Universe sekali lagi akan menjengah pada pagi Isnin 27 Januari ini. Ia sekaligus menandakan bermulanya kempen pengembaraan ke acara gilang gemilang WWE Wrestlemania di mana pemenang akan menjadi tunggak utama acara pada April depan.

Apa yang paling menarik dalam perlawanan tempur raksasa Royal Rumble bagi edisi kali ini adalah penyertaan Juara Heavyweight Dunia WWE Brock Lesnar yang menjadi antara tiga puluh peserta untuk perlawanan tersebut. Bukan itu sahaja, bagi membuktikan bahawa dirinya adalah seorang jaguh tidak terkalah, Lesnar melalui lidah rasminya Paul Heyman mengumumkan bahawa The Beast akan memegang giliran sebagai peserta pertama seterusnya bertekad untuk menghumban keluar satu persatu kesemua 29 orang peserta lain dalam perlawanan ini kelak.



Namun untuk acara kali ini, Lesnar tidak akan mempertaruhkan kejuaraan miliknya sepertimana yang dilakukan oleh Roman Reigns pada edisi tahun 2015. Justeru, biar pun dirinya ditakdirkan tersingkir kelak, kejuaraan paling berprestij di WWE itu akan kekal menjadi miliknya dan berkemungkinan akan terus dipegang sehingga acara Wrestlemania kelak.

Persoalannya, jika benar Lesnar ingin disingkirkan, siapakah individu bertuah yang mampu menggalas peranan tersebut? Tidak dapat dinafikan, Lesnar bukannya bintang biasa-biasa dan strategi serta muslihat tertentu perlu digunapakai bagi menghumban keluar bekas Juara Heavyweight UFC itu dari gelanggang.

Setakat laporan ini ditulis, beberapa bintang Raw dan Smackdown telah pun mengesahkan penyertaan mereka dalam perlawanan ini. Antara yang dilihat mampu memberi saingan adalah nama-nama seperti Drew McIntrye, Roman Reigns, King Corbin, AJ Styles dan tidak ketinggalan pemenang dua kali Royal Rumble iaitu Randy Orton.

Barangkali Seth Rollins yang pernah menewaskan Lesnar dalam beberapa perlawanan sebelum ini juga mempunyai peluang. Sementelah persona baharunya dengan gelaran Monday Night Messiah, The Beast Slayer pasti akan mendapatkan bantuan daripada jemaah pengikutnya iaitu Authors Of Pain dan Buddy Murphy. Tidak ketinggalan AJ Styles yang juga mempunya sekutunya tersendiri iaitu The Original Club. Justeru, Lesnar tidak boleh terus selesa dan perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Tidak cukup dengan bintang-bintang Raw dan Smackdown, pastinya beberapa bintang di NXT juga mahu mencuba nasib untuk bersaing dalam perlawanan kali ini. Jika sebelum ini Juara NXT Adam Cole, Johny Gargano dan Pete Dunne pernah menyertainya, sudah tentu beberapa bintang muda dari jenama tersebut juga ingin merasai persaingan sengit dalam perlawanan penyingkiran ini nanti.

Dan yang paling dinantikan pastinya peserta-peserta kejutan yang dijangka turut akan mengisi beberapa slot kekosongan. Ia pastinya akan memberikan keterujaan penonton yang sama-sama membuat kiraan turun untuk kemasukan peserta berikutnya yang bakal membuat kemunculan.

Tahun 2020 bakal menjadi edisi ketiga perlawanan Royal Rumble untuk bintang wanita. Setakat ini, hanya beberapa nama sahaja yang telah sah bakal beraksi dan bersaing iaitu Charlotte Flair, Nikki Cross, Alexa Bliss dan Sarah Logan. Seperti juga perlawanan Rumble lelaki, bintang-bintang wanita dari Raw, Smackdown dan juga NXT pastinya akan turut serta dan merebut tempat sebagai peserta terakhir yang tinggal di dalam gelanggang.

Nama-nama seperti Ronda Rousey, Nia Jax dan bekas Juara Wanita NXT Shayna Baszler antara yang disebut-sebut akan turut sama menjadi peserta kejutan kali ini. Siapakah agaknya bakal menuruti jejak Asuka pada tahun 2018 dan Becky Lynch pada tahun lalu sebagai pemenang edisi kali ini? Semuanya akan terjawab pada pagi Isnin ini.



Berbicara tentang Becky dan Asuka, kedua bintang yang masing-masing kini memegang gelaran Juara Wanita Raw dan Juara Wanita Beregu WWE akan bersemuka sesama sendiri dengan kejuaraan wanita milik The Man menjadi taruhan. Setelah mendominasi divisyen wanita sejak Wrestlemania tahun lalu, adakah The Empress mampu menggugah ego Lynch seterusnya menjadi juara berganda sebagai bekalan selesa ke Wrestlemania.



The Fiend Bray Wyatt dan Daniel Bryan pula akan sekali lagi beraksi bagi menyelesaikan konfrontasi antara mereka yang telah marak menyala sejak November tahun lalu. Selaku mantan juara, Bryan pastinya mengidamkan Kejuaraan Universal milik Wyatt dan bukan sahaja gelaran, malah menghentikan penguasaan The Fiend yang semakin menghantui WWE waktu ini.

Perlawanan lain yang turut akan mengambil tempat di acara WWE Royal Rumble kali ini:
1. Sheamus menentang Shorty G
2. Lacey Evans bertemu Bayley bagi Kejuaraan Wanita Smackdown
3. King Corbin lawan Roman Reigns dalam perlawanan Falls Count Anywhere
4. Humberto Carillo mencabar Andrade bagi Kejuaraan Amerika Syarikat WWE

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Royal Rumble pada 27 Januari ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Must Watch Video