Skip to main content

Rencana

Sentuhan magis Irfan bawa TFC ke final

irfan.jpg
Senyum sinis, berlari dan kunyah gula-gula getah. Gelagat Irfan Bakti sepanjang aksi 90 minit permainan mencuit hati saya.

Ia membabitkan perlawanan separuh akhir kedua antara pasukannya Terengganu dan juara bertahan, Johor Darul Takzim di Stadium Larkin pada Sabtu.

Melihat kepada reaksi dan gerak tubuh jurulatih berusia 67 tahun itu terutama dalam separuh masa pertama seperti pasrah apa yang berlaku.

Malah, Irfan seolah sudah menjangkakan situasi dan keadaan perlawanan yang tidak akan memihak pasukannya menerusi beberapa keputusan pengadil perlawanan.

Paling menarik kalau saya dapat imbas balik pada ketika penyerangnya Tchetche Kipre berpeluang untuk menghasilkan gol, namun dipersalahkan oleh pengadil kerana dikatakan melakukan kekasaran.

Sambil tersenyum, Irfan berlari ke bilik persalinan walaupun aksi babak pertama belum berakhir. Saya sebenarnya dapat rasakan apa yang terbuku di hati bekas jurulatih Pulau Pinang, Perlis dan Selangor itu.

Namun, apa pun yang berlaku, Irfan tetap meniup semangat anak buahnya untuk berjuang dan hasilnya mereka berjaya pamer kebangkitan.

Kipre muncul wira apabila meledak dua gol untuk memastikan kemaraan Terengganu ke perlawanan akhir dengan agregat 3-2 selepas aksi penuh masa berakhir 2-2.

Ini kali kedua Irfan menyingkirkan skuad Harimau Selatan di gelanggang keramat, Stadium Larkin bagi saingan Piala Malaysia selepas melakukannya bersama Felda United dalam aksi suku akhir pada November 2015.

Ternyata, Irfan memiliki sentuhan magis kerana sukar sebenarnya untuk menafikan peluang JDT di Larkin dalam apa jua keadaan.

Kini, Irfan berpeluang untuk meraih kejuaraan sulung Piala Malaysia dan membantu Terengganu menamatkan kemarau 17 tahun menjulang piala teragung itu.  

Imej: Asiana

Advertisement

Must Watch Video