Nampaknya hasrat sesetengah penyokong setia Kelantan yang mahu K.Devan berundur tercapai. Apa tidaknya, saban hari saya melihat kritikan yang hebat daripada penyokong terhadap jurulatih berkenaan selepas setiap perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka itu berakhir.
Hebat sungguh tekanan yang diberikan kepada Devan ini, namun seperti yang dijelaskan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, KAFA, Tan Sri Annuar Musa, Devan melepaskan jawatannya itu atas kerelaan hati selepas perbincangan yang diadakan dan bukan atas faktor tekanan.
Tetapi, jika sesebuah pasukan itu tidak konsisten dan sering kali dilanda kekalahan, siapa yang tidak tertekan, bukan? Sering kali laungan tidak puas hati penyokong didengari di stadium agar Devan meletak jawatannya, dan pada 11Mei lalu, jurulatih itu secara rasmi melepaskan jawatannya.
Terbaru, bekas jurulatih kebangsaan Maldives, Velizar Popov diumumkan sebagai ketua jurulatih baru Kelantan bagi menggantikan posisi Devan. Apa yang saya lihat, banyak respon positif yang diterima oleh penyokong! Rata-rata mereka meletakkan harapan menggunung terhadapnya untuk kembalikan zaman kegemilangan pasukan itu.
Seperti apa yang Annuar Musa pernah katakan, "Penyokong ni sokmo doh tengok Kelate menang, kalu kaloh, susoh nok terimo'. Itulah yang dihadapi oleh bekas jurulatih, K.Devan yang dikritik teruk berhubung prestasi tidak memuaskan PQPTRW itu.
Justeru, apabila ditanya mengenai TEKANAN kepada Popov, dengan terbuka hati dia memberitahu media, dia bersedia menerima sebarang tekanan kerana dia sendiri percaya kebolehannya untuk kembali perbaiki prestasi pasukan Kelantan yang diimpikan penyokong.
Sama-sama lah kita nantikan, adakah kehadiran jurulatih dari Bulgaria mampu memberi kenangan manis atau sebaliknya kepada Kelantan!