Skip to main content

Rencana

"SELAMAT MAJU JAYA BUAT DR MOHD KHAIRI ZAWI"

150116drkhairizawi-jpg.jpg
Demikian antara salam perkenalan yang diterima penulis selepas bertemu dengan Dr Mohd Khairi Zawi, individu yang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Sukan Negara (ISN) yang baharu bermula 15 Januari 2016.

Khairi menggantikan tempat Datuk Dr Ramlan Abd Aziz yang dilantik sebagai penasihat kepada menteri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pakar rujuk perubatan sukan.

Secara jujurnya, penulis tidak pernah bertemu atau mengenali Khairi dengan lebih rapat sepanjang menceburi bidang kewartawanan sukan.

Namun selepas pengumuman yang dibuat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, penulis diberi kepercayaan untuk menemuramah Khairi mengenai tugasan barunya.

Pengalamannya selaku pakar akademik berada dalam kelas tersendiri dengan berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Kemahiran Motor serta Biomekanik Sukan.

Selain itu beliau pernah berkhidmat selama 17 tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bertanggungjawab mengasaskan penubuhan Akademi Sukan UPM serta Jabatan Pengajian Sukan di Fakulti Pendidikan UPM.

Ketua Program Siswazah, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM menjadi tugasan terakhir sebelum berpindah ke ISN.

Khairi turut membuat satu penyelidikan khas iaitu kecerdasan sukan yang menumpukan kepada sukan badminton sambil mengharapkan keputusan yang diperoleh mampu diterapkan kepada sukan-sukan yang lain pada masa akan datang.

Individu yang meminati sukan tenis serta renang ini akui bakal berdepan cabaran besar apatah lagi ISN diberi kepercayaan untuk mengendalikan Program Podium yang mengkhususkan kepada atlit berprestasi tinggi.

Beliau beranggapan teknologi dalam sains sukan terutamanya masa kini semakin moden dan ingin mewujudkan satu ekologi baharu yang mampu membantu ISN dalam mengendalikan atlitnya.

Sudah pasti setiap individu punyai pilihan sendiri tentang siapa atlit terbaik dalam fikiran mereka.

Bagi Khairi, Datuk Nicol David merupakan contoh terbaik dari segi inspirasi dan juga prestasi yang perlu diikuti atlit-atlit lain.

"Nicol merupakan epitomi kegemilangan seorang atlit dan saya pasti dia akan menjadi seorang legenda untuk satu tempoh yang lama. Kejayaan yang diraih Nicol adalah refleksi terhadap komitmennya untuk menjadi yang terbaik."

"Saya pernah membuat kajian menerusi maklumat maya dan usaha serta kejayaan Nicol merupakan modul sesuai kepada sesiapa sahaja ahli sukan khususnya yang masih muda."

Tidak dinafikan, latar belakang luas dimiliki Khairi mampu melonjakkan ISN ke satu tahap yang lebih baik berbanding sekarang.

Apa yang pasti ialah beliau perlu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak untuk menjalankan tugas seperti yang dipertanggungjawabkan.

Harapan peribadi penulis, selamat maju jaya Dr Mohd Khairi Zawi dalam memacu ISN menjadi sebuah badan yang lebih berkesan bagi membentuk atlit cemerlang pada masa depan.

Advertisement

Must Watch Video