RENCANA
Selamat kembali Zaquan
Melihat penyerang negara Zaquan Adha Abdul Radzak kembali mendapat tempat dalam skuad negara mengembalikan semula moment menarik yang turut mengaitkan abang kembarnya, Aidil Zafuan Abdul Radzak setiap kali di atas padang satu ketika dulu.
Umum mengenali pasangan kembar ini yang miliki wajah seiras sering menimbulkan kekeliruan pihak lawan, mahupun pengadil dalam kebanyakan perlawanan.
Pengalaman Aidil sendiri dia pernah dilayangkan kad kuning dalam sebuah perlawanan walaupun dia tidak melakukan sebarang kesalahan.
Iklan
" Ada insiden dalam sebuah perlawanan, pengadil melayangkan kad kuning kepada saya disebabkan kesalahan adik (Zaquan). Jelas sekali pengadil itu terkeliru dengan wajah seiras kami."
Penulis masih mengingati kem latihan skuad negara di Antalya Turki pada 2011 di mana skuad negara yang berada dibawah bimbingan Datuk K Rajagobal menjalani kem latihan dan 3 aksi persahabatan dengan 3 buah kelab di sana selama 10 hari.
Ketika aksi persahabatan kedua, kekeliruan melibatkan pihak lawan sehingga cetus pergaduhan dan perlawanan terpaksa dihentikan selepas keadaan semakin tegang.
Segalanya berpunca daripada pertelingkahan lidah membabitkan Aidil yang merupakan kapten pasukan ketika itu melibatkan pemain pasukan tuan rumah.
Setelah keadaan reda seketika, kedengaran jeritan Zaquan dari kelompok berbeza yang telah ditumbuk di bahagian perut oleh salah seorang pemain pasukan lawan yang mungkin terkeliru ekoran wajah seiras yang dimiliki oleh kedua pemain ini.
" Saya ditumbuk di bahagian perut. Mungkin dia (pemain pihak lawan) terkeliru atau ingin melepaskan geram kerana tahu kami adalah pasangan kembar." kata Zaquan
Pengalaman penulis sendiri, beberapa kali tersilap panggil nama, yang adik dipanggil Aidil, yang abang dipanggil Zaquan sehinggakan penulis membuat perbandingan dengan mengesan Zaquan (adik) miliki tahi lalat lebih jelas di pipi kanannya.
" Sekarang kami sudah tidak seiras seperti dahulu yang nampak begitu ketara. Perubahan fizikal kami menjadikan rakan-rakan sepasukan mudah untuk mengenalpasti siapa adik dan siapa abang." tegas Aidil
Apa-apa pun 'selamat kembali' penulis ucapkan kepada Zaquan yang sudah lebih 4 tahun tidak menyarung jersi negara dan kini kembali mendapat kepercayaan jurulatih negara Datuk Ong kim Swee untuk membantu jentera serangan Malaysia.
Aidil mengulas kehadiran semula kembarnya ke dalam skuad negara sebagai berita baik namun menggesa agar Zaquan perlu cepat menyerap cara permainan skuad negara selepas sekian lama dia tidak beraksi atas nama Malaysia.
Must-Watch Video