RENCANA
Selamat Hari Bapa!
Tiada apa yang boleh mengganti kasih seorang ayah - sesungguhnya seorang ayah lah yang menjadi hero pertama kita sejak kita diperkenalkan di muka bumi ini. Memang benar syurga di telapak kaki ibu, tapi kehadiran ayah juga sangatlah penting dalam kehidupan kita!
Jika saya hendak bercerita tentang minat saya terhadap bolasepak, saya akan sentiasa teringatkan ayah saya. Ini adalah disebabkan ayah lah yang merupakan orang pertama memupuk sifat ini dalam diri saya. Saya mungkin tidak ingat kerana masih terlalu kecil ketika itu, tetapi ada banyak sangat gambar dalam foto album keluarga saya yang menunjukkan saya bersama ayah seronok menonton bolasepak bersama di Stadium Negeri Sarawak. Kebanyakan gambar ini adalah pada pertengahan tahun 90-an, ketika keluarga kami masih lagi tinggal di Kuching.
Kali pertama saya menyaksikan pasukan kebangsaan juga adalah bersama ayah saya - pada waktu itu saya masih lagi di bangku sekolah rendah, dan sudah pastinya sebagai budak kecil, saya berasa sangat teruja kerana perjalanan dari Kuching ke Kuala Lumpur seperti lebih bermakna kerana pergi dengan tujuan hendak menonton bolasepak!
Iklan
Awal pagi tadi, ramai sangat rakan-rakan di Instagram dan juga Twitter yang memberikan ucapan kepada ayah masing-masing sempena Hari Ayah. Saya sempat Tweet dan bertanya, apakah memori sukan terindah kalian bersama ayah?
Ada yang membalas pergi menembak di shooting range. Wow, hebat kan? Ada yang membalas bermain badminton bersama ayah tersayang ketika masih kanak-kanak. Terdapat juga rakan Twitter yang menyatakan ayah beliau lah yang pertama sekali menggalakkan beliau minat dengan bolasepak tempatan.
Tidak kiralah sama ada sukan menembak, badminton ataupun bolasepak, saya yakin, adanya figur bergelar "ayah" dalam kehidupan kita ketika kita membesar, telah sedikit sebanyak membantu kita menjadi siapa kita pada hari ini. Sama ada kita seorang peminat ataupun seorang atlit profesional - tanpa kehadiran seorang karakter yang kita panggil ayah, adakah kita akan menjadi diri kita yang sedia ada kini?
Mungkin jika ayah saya tidak rajin membawa saya ke stadium ketika saya kecil, minat saya akan ke arah yang lebih berbeza daripada bolasepak? Whatever it is, saya sangat bersyukur dengan segala yang telah ayah saya ajar dan pengalaman yang telah ayah saya berikan kepada saya sepanjang 25 tahun kehidupan saya.
Dan apa yang pasti, bukan setakat Hari Bapa sahaja kita harus menghargai insan bergelar ayah. Kalau boleh, hari-hari kita terus dan terus menyayangi mereka sepertimana mereka menyayangi kita.
Kepada semua ayah di luar sana, Selamat Hari Bapa!
Must-Watch Video