Skip to main content

Rencana

Selamat datang Syed Saddiq

syed-saddiq.png
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut kedatangan menteri baru, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama timbalannya, Steven Sim Chee Keong yang memulakan tugas mereka secara rasmi Selasa lalu.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq adalah Menteri termuda dalam sejarah negara namun soal umur tidak seharusnya menjadi penghalang buat beliau melaksanakan tugas dengan berkesan di KBS.

Selain tumpuan terhadap golongan belia, sudah pasti selaku Menteri di KBS, tugas mencabar pasti menanti Syed Sadiq.

Saban tahun, terdapat saja kontroversi serta isu membabitkan persatuan sukan dan juga atlet yang kadang-kala memerlukan campur tangan Menteri untuk dileraikan.

Pemerhati dan juga warga media sudah pasti mengharapkan Syed Saddiq mampu mencari penyelesaian terbaik apabila timbulnya isu yang memerlukan campur tangan beliau tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Sudah pasti juga, segala program Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) perlu dilihat keberkesanannya sama ada perlu penambah baikkan, diteruskan atau dibubarkan.

Keberkesanan Program Podium adalah antara program yang mungkin wajar dikaji secara menyeluruh oleh pucuk pimpinan baru KBS di bawah Syed Saddiq selepas temasya Sukan Asia Indonesia Ogos depan.

Pucuk pimpinan KBS sebelum ini banyak menggunakan kepakaran luar untuk program tersebut dan jika pencapaian di Indonesia kurang memuaskan, mungkin penggunaan lebih ramai pakar tempatan wajar dipertimbangkan.

Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) tidak dinafikan adalah satu perancangan yang baik dalam usaha meningkatkan tahap bola sepak negara.

Penulis berasa ia wajar diteruskan pucuk pimpunan KBS di bawah Syed Saddiq kini namun, ia mungkin memerlukan sedikit perubahan dan kajian menyeluruh mungkin boleh dilakukan selepas saingan AFC Bawah 16 Tahun AFC.

Sasaran buat kelompok awal graduan NFDP yang membentuk skuad Bawah 16 Tahun Negara di kejohanan itu ialah empat tempat terbaik bagi melayakkan diri ke saingan Piala Dunia FIFA Bawah 17 Tahun 2019.

Ketika ini, banyak latihan, aksi persahabatan dan kejohanan jemputan tertumpu ke Eropah dan penulis berasa mungkin lebih wajar jika program tersebut turut mengkaji keberkesanan program di Jepun selepas ini.

Pandangan penulis adalah kerana ia pasti menjimatkan kos dengan penghantaran pemain muda kita ke negara Asia itu berbanding jika ke Eropah.

Selain daripada itu ketika membuat liputan saingan jemputan Piala Sannix di Jepun Mac lalu, penulis dapat saksikan sendiri kematangan pemain-pemain remaja  kelab-kelab Jepun di kejohanan bawah 18 tahun itu.

Kerana itu penulis berasa, mungkin lebih wajar jika program NFDP menerapkan pendekatan yang diamalkan Jepun, apatah lagi skuad senior Samurai Biru juga baru-baru ini mara ke peringkat 16 akhir Piala Dunia 2018 di Rusia yang membuktikan tahap mereka kini di aras lebih tinggi.

Apa pun, kajian semula terhadap Program Podium dan NFDP adalah sekadar cadangan penulis kepada Syed Saddiq berdasarkan pemerhatian penulis sebagai wartawan dan pemerhati sukan tempatan.

Sekali lagi, penulis mengucapkan selamat datang kepada Syed Saddiq dan semoga KBS di bawah kepimpinannya bakal menyaksikan prestasi cemerlang sukan negara di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Must Watch Video