Skip to main content

Rencana

Selamat datang ke pentas dunia, wirawati negara

230117tigress.jpg

Skuad hoki wanita negara wajar mendapat pujian walaupun tewas 0-3 di tangan Ireland dalam final pusingan kedua Liga Dunia di Stadium Hoki Tun Razak.

The Malaysian Tigress menepis keraguan banyak pihak bahawa mereka tidak mampu melangkah jauh dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Namun, Malaysia membuktikan ia bukan sesuatu yang mustahil apabila menewaskan pilihan utama, Itali, dalam separuh akhir menerusi penentuan pukulan penalti, sekali gus layak ke final buat kali pertama dalam sejarah.

Kemenangan itu membuka mata banyak pihak bahawa Malaysia berpotensi melangkah jauh di pentas antarabangsa.

Walaupun ada yang tidak berkeyakinan mereka mampu menewaskan Itali, anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menunjukkan semangat juang yang begitu tinggi walaupun ketinggalan dua kali dalam perlawanan tersebut.

Mereka menunjukkan mereka begitu dahagakan kejayaan. Sifat tidak mudah menyerah kalah dan semangat sepasukan adalah antara tonik ajaib pasukan ini.

Dalam perlawanan akhir menentang Ireland, ada yang memperkatakan tentang corak dan strategi yang diterapkan oleh Dhaarma.

Bermain secara terbuka dan "high pressing game" menentang Ireland adalah taktik yang berisiko tinggi kerana lawan adalah sebuah pasukan yang mantap dan mempunyai pemain yang boleh menghukum kita bila diberi banyak ruang di belakang.

Pada ketika ini, saya menjangkakan kita akan bermain "half court", "tight defence" dan menunggu untuk melakukan serangan kilat.

Tetapi pada pendapat saya, itulah corak permainan yang diperlukan untuk mencabar pasukan-pasukan lain serta ia mempercepatkan proses dalam mematangkan pasukan kita dalam menghadapi jaguh jaguh hoki dunia dalam Pusingan Ketiga nanti. 

Walaupun tewas, saya melihat Dhaarma telah memulakan persediaan ke Liga Hoki Wanita Dunia 3, bermula dengan perlawanan akhir semalam, tidak menunggu semasa dalam fasa persiapan.

Bermain "open game" dan "pressing game" adalah proses dalam menaikkan keyakinan dan kepercayaan bahawa kita tidak gentar dengan pasukan-pasukan yang ranking lebih tinggi. Ia juga akan memberikan gambaran buat Dhaarma berapa banyak yang perlu beliau berusaha serta lakukan untuk bermain cara begini pada masa hadapan.

Dengan perancangan yang lebih teliti dan komprehensif, semua yang terlibat dalam merencanakan program dalam masa empat bulan ini, saya percaya kita mampu menempatkan diri kita ke Piala Dunia buat pertama kalinya nanti. 

Kerja keras harus dilipatgandakan serta pendedahan perlawanan perlawanan persahabatan di Eropah harus menjadi kemestian kerana saya melihat menewaskan beberapa pasukan yang berada pada ranking di antara 14 hingga 20 nanti dalam Liga Hoki Wanita Dunia Pusingan 3, sudah cukup membawa kita ke sana.

Kudos kepada Muhammad Dhaarma Raj dan barisan kejurulatihan, pemain-pemain serta Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam usaha mengembalikan kegemilangan hoki wanita negara yang agak suram sejak sekian lama.

Advertisement

Must Watch Video