Skip to main content

Rencana

Selamat bertugas Datuk Hamidin

hamidin_4.jpg
Belum terlambat buat penulis mengucapkan tahniah kepada Datuk Hamidin Mohd Amin selepas disahkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika Kongres ke-54 persatuan itu, Sabtu lalu.

Hamidin juga adalah antara pentadbir sukan yang lama penulis kenali, iaitu sejak penulis mula menceburi dunia kewartawanan sukan 15 tahun lalu.

Sepanjang penulis berurusan dengan Hamidin, ada kalanya kami berbeza pendapat dan penulis sendiri pernah melemparkan kritikan terhadapnya ketika menjadi wartawan sebuah akhbar arus perdana tidak lama dahulu.

Namun, Hamidin tenang menghadapi kritikan dan kebiasaannya akan tetap berjumpa penulis bagi meleraikan segala isu berbangkit dengan baik, walaupun beliau tidak bersetuju dengan kritikan penulis.

Sikap terbuka kepada kritikan yang ada pada Hamidin, wajar dicontohi pegawai dan pentadbir sukan tempatan yang lain.

Seperti yang pernah penulis tekankan dalam artikel terdahulu, Hamidin adalah calon terbaik menerajui FAM walaupun dia adalah Presiden pertama FAM bukan dari kalangan kerabat diraja mahupun ahli politik.

Berbekalkan pengalaman selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Naib Presiden FAM dan akhirnya Setiausaha Agung FAM, Hamidin jelas seorang individu yang cukup masak dengan pengurusan bola sepak tempatan.

Beliau turut mempunyai hubungan baik bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan badan bola sepak dunia, FIFA.

Penulis juga tertarik dengan manifesto Hamidin selaku Presiden FAM yang akan memberi  keutamaan kepada skuad kebangsaan serta memainkan peranan lebih aktif dalam Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Penulis ada bertemu dengan Hamidin beberapa minggu sebelum Kongres FAM dan beliau menyatakan sendiri kepada penulis bahawa tumpuan lebih akan diberi kepada usaha meningkatkan ranking dunia FIFA skuad negara.

Ketika ini Harimau Malaya menduduki ranking ke 171 dunia dan usaha memperbaiki ranking sudah pun diusahakan Hamidin selaku Setiausaha Agung FAM sebelum ini dengan merangka enam aksi persahabatan antarabangsa Kelas A sebelum saingan Piala Suzuki AFF pada November.

Jika skuad kendalian Tan Cheng Hoe mampu merakam keputusan positif dalam enam aksi tersebut serta mara jauh di Piala Suzuki, tidak mustahil ranking Malaysia mampu meningkat ke-130 atau 120 terbaik dunia hujung tahun ini.

Jika berjaya meningkatkan ranking skuad negara, usaha seterusnya adalah untuk pastikan Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia 2023.

Hamidin turut bercadang untuk menghidupkan kembali saingan Pestabola Merdeka yang sudah beberapa tahun tidak dianjurkan.

Selaku badan induk bola sepak negara, penulis turut menyokong hasrat FAM untuk memainkan peranan lebih aktif di NFDP.

Bukan mahu menidakkan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memainkan peranan utama sebelum ini, tetapi dengan pembabitan lebih besar FAM, persatuan itu mampu memastikan setiap ahli gabungan negeri turut memainkan peranan lebih pro aktif bagi menjayakan NFDP.

Petanda awal kebangkitan bola sepak negara ketika era Hamidin sebagai Presiden FAM sudah kelihatan dengan kejayaan skuad bawah 19 tahun kendalian Bojan Hodak menjuarai saingan AFF Bawah 19 Tahun di Surabaya minggu lalu.

Namun, perjalanan masih jauh buat Hamidin dan penulis berharap apa yang dirancang beliau mampu dilaksanakan dengan berkesan demi kebangkitan bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Advertisement

Must Watch Video