Skip to main content

Rencana

‘Saya dah penat sentiasa jadi masalah di Barcelona’: Messi

lionel-messi-antoine-griezmann-barcelona.jpg
Bersikap tenang untuk sekian lama, akhirnya Lionel Messi meledak juga.

Setelah diasak oleh penyiasat percukaian Sepanyol sejurus mendarat di lapangan terbang selepas membantu kemenangan 2-0 Argentina ke atas Peru dalam kelayakan Piala Dunia di Lima semalam, ditambah provokasi media terhadap dakwaan peranannya menggagalkan rakan sekelab, Antoine Griezmann, kesabaran Messi terburai jua.

“Saya sudah penat sentiasa dijadikan masalah di Barcelona,” katanya ringkas seperti dipetik akhbar tabloid British, The Sun.

Mengenai penyiasat percukaian itu, Messi menambah: “Saya baru tiba dan terdapat beberapa ejen percukaian yang bertanyakan bermacam-macam soalan, ia sesuatu yang gila.”
Dan, di sebalik semua itu, tabloid berkenaan segera merumuskan pemburuan Manchester City untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 33 tahun itu pada akhir musim ini, kini kembali bersemarak.



Terdahulu, Messi dan bapanya, Jorge, didapati bersalah atas penipuan cukai pada Julai 2016 dan dijatuhkan hukuman penjara 21 bulan, yang bagaimanapun tertangguh. Dia juga dikenakan denda £1.5 juta (RM8.13 juta).

Ketika itulah juga, pemenang enam kali Ballon d'Or itu mengakui mahu meninggalkan Sepanyol di atas keributan berkenaan.

City belum berputus-asa untuk menyatukan Messi dengan pengurus, Pep Guardiola, di samping pertahanan muda The Citizens, Eric Garcia, mungkin dijadikan galang ganti.

Menurut The Sun, City sedar kelab gergasi Catalan itu terdesak untuk membawa pulang pemain antarabangsa Sepanyol itu ke Nou Camp sebagai pertukaran jika perpindahan membabitkan Messi mahu dijadikan kenyataan.

Barca, yang terjejas teruk daripada segi kewangan dek pandemik COVID-19, sedang berkira-kira untuk membeli Garcia atau pemain Lyon, Memphis Depay. Dalam pada itu, timbul laporan bahawa Real Madrid mungkin menyertai saingan mendapatkan Garcia.

Kontrak pemain berusia 19 tahun itu akan berakhir musim panas depan tapi City percaya mereka boleh mendapatkan yuran perpindahan lumayan terhadapnya dalam jendela Januari ini atau menggunakannya sebagai pertukaran dalam sebarang bidaan terhadap Messi.

Sebagai mempermudah hasratnya untuk angkat kaki, Garcia yang semakin kehilangan tempat di Etihad sejak ketibaan Ruben Dias, bimbang terlepas peluang untuk beraksi dalam Euro 2020 yang ditangguhkan ke tahun depan.

Berbalik kepada Messi, dakwaan bekas ejen Griezmann, Eric Olhats, benar-benar membuatnya naik angin.

Messi didakwa melakukan segala yang terdaya untuk menggagalkan Griezmann sejak perpindahannya daripada Atletico Madrid, dengan Olhats menyifatkannya sebagai ‘maharaja’ yang menuntut segala kemahuannya dituruti.



Sejauh ini, Griezmann dianggap gagal menyesuaikan diri di Nou Camp, dengan ramai yang menuding jari kepada tiadanya keserasian dengan Messi.

“(Griezmann) percaya dia tidak akan berjaya dalam tempoh enam bulan pertama tapi saya tidak jangka ia akan berlanjutan sepanjang tahun,” kata bapa saudara pemain itu seperti dipetik dalam laporan Football Espana.

“Messi tidak pun bekerja keras di Barca hinggakan sesi latihan dirangka untuk menyenangkan pemain tertentu. Antoine pula perlu bekerja keras, tidak seperti sesetengah pemain yang masih boleh bersantai untuk beraksi dengan baik,” tambahnya.

Ibarat mencurah minyak ke api, Olhats pula memberitahu France Football. “Antoine tiba di kelab di mana Messi mempunyai peranan dalam segala-galanya.

“(Messi) umpama seorang maharaja yang tidak mengalu-alukan kedatangan Antoine. Sikapnya amat menjengkelkan hingga membuat Antoine berasa tidak disenangi dalam pasukan Barca.”

Kepada semua dakwaan itulah, Messi mengungkapkan: “Saya benar-benar sudah penat kerana sentiasa dijadikan masalah untuk apa saja di Barcelona.”

Advertisement

Must Watch Video