Skip to main content

Rencana

Sarri kejar tarikh tamat tempoh

sarri.jpg
Gemilang 'Sarriball' semakin pudar dan tempoh adaptasi pengendali dari Itali, Maurizio Sarri, semakin menghampiri penamat di Stamford Bridge.

Tempoh enam bulan selepas Sarri mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan Antonio Conte bermakna jurulatih yang menyambut hari lahir ke-60 pada 10 Januari lalu itu kini sudah melepasi fasa pertama - sesuaikan diri.

Apakah dia lulus ujian ini?

Pilihan jawapan kepada ujian ini hanya ada A atau B tetapi bukan seperti yang terdapat di kertas peperiksaan sekolah atau universiti - ia lebih kejam kerana kedua-duanya perlu kompromi dari Sarri - ikut cara orang inggeris bermain bola sepak atau bersedia untuk angkat kaki pada bila-bila masa.

Pengurusan kelab tidak gembira dengan prestasi terkini pasukan - tewas 4-0 kepada Bournemouth adalah kekalahan terbesar Chelsea di saingan Liga Perdana Ingeris pada era Roman Abramovich dan para pemain menggunakan 50 minit perbincangan yang dilakukan Sarri didalam bilik persalinan selepas itu, hanya untuk meletakkan kesalahan dibahu bekas pemain yang pernah terbabit dalam bidang perbankan ini.

Beberapa pemain senior The Blues sudah menjangkakan pihak lawan tidak akan mengambil masa yang lama untuk membaca taktik 'Sarriball' jika Sarri terus menjadikan anak didiknya dari Napoli, Jorginho, sebagai pusat pergerakan - ia akhirnya menjadi realiti dan bukan sekadar tuduhan berbaur cemburu semata-mata.

Kebergantungan Chelsea kepada Jorginho mula memperlihatkan pemain antarabangsa Itali itu menjadi sasaran seperti yang dilakukan Gylfi Sigurdsson untuk Chelsea sekadar berpuas hati seri tanpa jaringan dengan Everton - sama seperti David Brooks mengikat Jorginho ketika menerima kunjungan Chelsea di Stadium Vitality.

Sebelum ini, aduan para pemain yang tidak begitu selesa dengan 'polisi baru' yang diterapkan Sarri juga tidak diendahkan, antaranya latihan pada hari perlawanan yang dianggap meletihkan.

Sama ada prestasi semasa Chelsea ini adalah tanda protes para pemain terhadap ketegasan Sarri atau sememangnya kesan kepada kegagalan Sarri menyesuaikan diri dengan tradisi kelab, masa depan Sarri semakin kena dengan pepatah melayu 'seperti telur di hujung tanduk'.

Menang dalam pertemuan dengan pasukan tercorot liga, Huddersfield Town, selepas ini pun belum tentu ujian fasa keduanya mampu berlangsung sempurna. Silap-silap, Chelsea juga rela sekadar dijaga 'caretaker' seperti Manchester United yang semakin mendaki liga bersama bekas pemain yang lebih arif tentang selok belok amalan pasukan.

Advertisement

Must Watch Video