RENCANA
Sang Semut Merah Tewas Bermaruah
Saingan Piala FA baru saja berakhir dengan JDT dinobatkan selaku juara selepas menumpaskan PKNS 2 - 1 di pentas final yang berlangsung di Stadium Shah Alam. Biarpun tewas, pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan jurulatih berpengalaman, E. Elavarasan yang berjaya membuktikan bahawa dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.
Selaku pasukan dari liga perdana dan tanpa dibarisi pemain-pemain ternama, PKNS berjaya membuktikan bahawa semangat sepasukan adalah kunci utama dalam mencipta kejayaan. Bermula cemerlang dengan menidakkan cabaran pasukan gergasi seperti Terengganu dan Felda United di peringkat awal, kebolehan dan keupayaan PKNS sebenarnya telah diperhatikan penulis yang percaya pasukan ini mapu melangkah jauh dalam saingan Piala FA.
Seterusnya mereka menang bergaya apabila menewaskan Sime Darby 7-2 di peringkat suku akhir, sebelum berhempas pulas menyingkirkan Perak di peringkat separuh akhir untuk mara buat pertama kali di pentas final Piala FA.
Iklan
Dalam perlawanan akhir, PKNS berjaya mengimbangi kekuatan JDT yang mana jika dinilai dari segi kualiti pemain, ianya boleh diibaratkan sebagai langit dengan bumi. Dengan JDT dibarisi pemain-pemain kebangsaan selain tonggak import berkualiti seperti Lucero dan Pereyra Diaz, percaturan Elavarasan yang hanya bersandarkan kepada pemain sedia ada dilihat hampir-hampir berjaya menumbangkan gergasi selatan.
Kredit buat tenaga kejurulatihan dan barisan pemain PKNS kerana mereka hanya kelab kerdil yang berusaha keras untuk sampai ke tahap ini. Biarpun tewas bermaruah di pentas final, namun mereka sebenarnya sudah menang di hati peminat bola sepak tanah air secara amnya, dan dihati peminat seia mereka secara khususnya.
Must-Watch Video