Skip to main content

Rencana

Ronaldo bukan azimat buat Juventus

cristiano-ronaldo.jpg
Cristiano Ronaldo didatangkan ke Juventus pada Julai lalu bukan tanpa bersebab.

Memaksa juara Serie A itu berpisah dengan €112 juta (RM517 juta) sebagai menebus klausa pelepasannya daripada Real Madrid, penyerang yang agak lanjut usia pada umur 33 tahun ketika itu, dilihat sebagai “azimat” buat Juventus untuk mencapai impian bergelar pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) akhirnya selepas sekian lama.

I Bianconeri (Hitam dan Putih) sebelumnya pernah dua kali bertakhta selaku raja di Eropah pada musim 1995/96 di bawah pengendalian Marcello Lippi sebagai menyusuli kejayaan sulung ketika dikemudi Giovanni Trapattoni pada 1984/85.

Tempoh 23 tahun berselang dengan kemarau kejuaraan Eropah dirasakan sudah terlalu lama di sebalik tampil pasukan paling berjaya dalam liga Itali dengan menjuarainya 34 kali, termasuk tujuh musim berturut-turut sejak 2011/12.

Dengan mengalihkan perubahan nasib kepada Ronaldo, ia bukanlah pelaburan yang alang kepalang – kontraknya termeterai selama empat tahun dengan gaji €120 juta (RM554 juta) sepanjang tempoh berkenaan.

Sejumlah 19 gol yang dijaringkannya dalam Serie A setakat ini tambah menguatkan keyakinan skuad kendalian Massimiliano Allegri itu bahawa dialah sinar yang mampu menerangi terowong kegelapan Juventus dalam Liga Juara-Juara sehinggalah perlawanan pertama pusingan 16, Rabu lalu.

Berkunjung ke Madrid untuk berdepan Atletico Madrid, Juventus sebaliknya dikirim pulang dengan kekalahan 2-0 yang mendekatkan mereka dengan pintu keluar berbanding pintu ke suku akhir.

Ronaldo?

Dengan hanya satu gol dalam lapan perlawanan terakhirnya dalam UCL, sumbangannya ketika berdepan Atletico sekadar biasa-biasa di sebalik Sky Sports memberikannya pemarkahan 7, sama seperti Leonardo Bonucci, sebagai berprestasi terbaik buat Juve.

Paling diingati daripada Ronaldo dalam perlawanan itu ialah sepakan percuma jarak jauhnya pada awal permainan yang tidak memberi masalah kepada Jan Oblak untuk menepisnya keluar.

Lebih daripada itu, dia memperlihatkan sisi kemanusiaannya apabila menunjukkan isyarat lima jari – tanda dia sudah bergelar juara UCL sebanyak lima kali – dan membentuk isyarat kosong sebagai menyindir Atletico yang belum pernah memenanginya sejurus berakhir perlawanan itu.

Pengurus Juve, Allegri, bagaimanapun, tampil mempertahankan Ronaldo dengan mengungkapkan: “Peranannya dalam bilik persalinan menyerlahkan kepimpinannya sebagai pemain terbaik dunia dan di Madrid, dia menunjukkan kehadirannya penting buat pasukan.”

Dalam pada itu, ia tidak akan bermakna apa-apa jika Juve gagal menterbalikkan keputusan dalam perlawanan timbal balik di Turin, 13 Mac ini, untuk meneruskan kemaraan.

“20 hari,” ciap Allegri melalui Twitter. “20 hari untuk kami mempersiapkan diri untuk satu cabaran yang akan kami menangi, secara bersama-sama, sehingga kesudahannya. Turin akan menjadi satu pertempuran.”

Ronaldo kekal berkeyakinan Juventus akan mara.

“Kita akan lihat siapa yang akan layak,” katanya. “Ia malam yang sukar di Madrid tapi kini kami semakin berkeyakinan.”

Ia akan menjadi satu perhitungan untuk Ronaldo membuktikan nilai dirinya di samping mengukuhkan kepercayaan dia adalah “azimat” yang akan sentiasa dihargai Juventus.

Jika tidak, dialah La Gheuba (Si Bongkok) – salah satu daripada sekian banyak jolokan buat Juventus.

Advertisement

Must Watch Video