Skip to main content

Rencana

Reformis berjiwa sukan

elyas-omar.jpg
“Hah…not bad la you…muka macam budak kampung tapi boleh tulis English!” Kata-kata Tan Sri Elyas Omar ini sekitar pertengahan 1990-an disambut derai ketawa penulis dan beberapa wartawan sukan yang lain.

Seorang pemimpin berjiwa sukan yang terbuka kepada cadangan dan kritikan, Elyas mengeluarkan kata-kata itu di Wisma FAM, sambil kami menunggu anak buah Hatem Souissi menjalani latihan sebagai persiapan menuju Piala Dunia Belia 1997.

Penulis melaporkan persiapan pasukan itu dari pelbagai sudut – profil pemain dan jurulatih, kenyataan Hatem serta penolongnya, perspektif Elyas selaku pengurus pasukan dan dasar-dasar FAM berhubung program latihan skuad berkenaan.

Selepas berhijrah dari Berita Harian ke The Malay Mail pada 1996, penulis menjadikan skuad itu ibarat adik-adik, dengan mengikuti latihan mereka hampir setiap hari.

Sebenarnya, liputan pertama penulis mengenai Elyas bukan dalam sukan, tetapi dalam  kapasitinya selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur yang melawat tebing Sungai Klang yang terhakis bersebelahan Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Pertemuan pada 14 November, 1991 itu masih segar dalam ingatan penulis yang menjalani latihan amali di Harian Metro. Elyas memakai bush jacket putih yang sinonim dengannya, diiringi pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sekelompok anggota media. 

Elyas mengeluarkan kenyataan memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membaiki tembok itu bagi mengelak masjid berkenaan terjejas akibat kesan hakisan. Beritanya disiarkan Harian Metro keesokannya. 

Hampir enam bulan kemudian, penulis bertugas sebagai penulis sisipan mingguan Berita Harian yang dinamakan Jaguh. Berada dalam perut stadium ketika skuad badminton negara menjulang Piala Thomas pada Mei 1992, Elyas antara yang paling gembira kerana beliau meletakkan batu asas apabila projek TUO dilancarkan pada 1987 hasil tajaan sebuah syarikat pengeluar rokok. 

Penulis bernostalgia dalam mengenang pemergian Elyas, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada Selasa lalu. Bukti betapa Elyas dihormati dan disegani tergambar dengan senarai VVIP yang menziarah jenazahnya di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak di Ampang Jaya.

Antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid,  Tan Sri Rais Yatim, Tan Sri Osman Samsuddin Cassim, Tan Sri Bashir Ahmad, Datuk Dr Noordin Razak, Datuk Pahamin Rajab, Datuk Omar Mohd Hashim, Datuk Zainal Abidin Osman, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali, Datuk Wira Mazlan Ahmad, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Datuk Azman Ujang.

Jawatan pertama Elyas dalam sukan adalah Presiden Persatuan Lumba Basikal Wilayah Persekutuan (PLBWP) setelah dipujuk oleh Mazlan, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), bersama-sama Allahyarham Daud Abu Kassim dan Allahyarham Fadzil Othman serta Shariff Hamzah. Ketika itu Mazlan setiausaha persatuan, manakala Daud timbalan presiden, Fadzil penolong setiausaha dan Shariff naib presiden.

Seterusnya, dengan sokongan Mazlan dan rakan-rakan, mereka menghidupkan semula Persekutuan Lumba Basikal Malaysia (PLBM) atau MCF yang dibatalkan pendaftaran pada 1981, dengan dijenamakan semula sebagai Persekutuan Kebangsaan Lumba Basikal Malaysia (PKLBM) atau MNCF dan Elyas menggantikan Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al Bukhary.
 
“Allahyarham seorang reformis dalam pentadbiran sukan, sebagai contoh kejayaan merampas Piala Thomas selepas 25 tahun, serta idea semi-pro dalam bola sepak Kuala Lumpur,” kata Mazlan.

Kekalahan Elyas dengan 10 undi di tangan Tan Sri Darshan Singh pada 1988 mencetus krisis dalam pentadbiran lumba basikal, sehingga Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan berpecah mewujudkan Persatuan Lumba Basikal Amatur Malaysia (PLBAM).

Bekas wartawan dan kolumnis The New Straits Times, Randhir Singh, menganggap Elyas pemimpin berjiwa sukan yang mendahului zaman.

“Beliau bukan sekadar Datuk Bandar yang berjaya, bahkan mengubah wajah setiap sukan yang dipimpinnya. Elyas memahat sejarah tersendiri dalam sukan negara sebagai pemimpin cemerlang,” kata Randhir. 

Sama ada selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur ketiga yang mencorakkan pembangunan ibu negara, ataupun tokoh sukan dan perancang di balik tabir Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persekutuan Kebangsaan Lumba Basikal Malaysia (PKLBM), Elyas menggabungkan idea dengan kemampuan melaksanakannya kepada realiti.

Bagi mereka yang tidak mengenali Elyas di zaman kegemilangannya sebagai seorang tokoh pemimpin sukan yang berwibawa dan gah, antara sumbangan anak kelahiran Pulau Pinang itu ialah:

# memperkenalkan dasar semi-pro pada 1985 dengan memastikan pemain bola sepak Kuala Lumpur bekerja sebagai kakitangan DBKL. Liga Semi-Pro anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilancarkan pada 1989.

# membina tapak kekuatan Kuala Lumpur selaku gergasi bola sepak tempatan. 

# pengambilan trio Singapura - Fandi Ahmad, K. Kannan dan Malek Awab – untuk menganggotai skuad Kuala Lumpur. Ini membuka mata semua pihak.

# mengirim pemain remaja berkelana ke luar negara, khususnya Eropah, sebagai pendedahan tahap tinggi. Program ini melahirkan antara lain Azmin Azram Aziz dan Azrul Amri Burhan. T. Gopinath Naidu pula antara penerima skim biasiswa bola sepak yang membawanya ke Aston Villa dan Jerman.

# menyuntik unsur profesionalisme ke dalam pengurusan Kuala Lumpur dengan mmbawa jurulatih Piala Dunia Czechoslovakia, Josef Venglos, dari Sporting Lisbon.

# mengilhamkan projek Piala Thomas/Uber/Olimpik (TUO) menerusi tajaan syarikat pengeluar rokok pada 1987, yang membawa hasil pada 1992 dengan kemenangan Piala Thomas dan gangsa dalam Sukan Olimpik di Barcelona.

# membawa kepakaran China menerusi Fang Kaixiang dan seterusnya Yang Yang, Chen Changjie dan Han Jian ke Malaysia.

# Mencetuskan idea Yayasan BAM bagi menyediakan program latihan dan biasiswa untuk pemain.

# ketua pelobi membawa Sukan Komanwel 1998 ke Kuala Lumpur (Malaysia memenangi bida dalam mesyuarat Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) di Sukan Olimpik 1992.

Bahagian seterusnya: Rahsia kejayaan Piala Thomas 1992



 

Advertisement

Must Watch Video