Skip to main content

Rencana

Rebutan Azrif Jadi Pengajaran

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

190116nasrulhaq-jpg.jpg
Mujur Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerusi pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari pantas bertindak dengan mengeluarkan kenyataan media mempertahankan Azrif sebagai pemain mereka untuk musim 2016 dan bersedia merujuk perkara ini ke Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika ia tidak terlerai.

Pujian juga wajar diberikan kepada pengurusan JDT yang mengakui kesilapan mereka untuk melamar Azrif kerana tidak mendapat maklumat terkini terhadap lanjutan kontrak pemain berasal dari Kota Damansara itu bersama Selangor.

Isu ini kini selesai, dengan Amirudin turut menerima permohonan maaf daripada pengurusan JDT tetapi ia wajar dijadikan pengajaran kepada pemain dan pengurusan pasukan lain apabila berdepan dengan situasi seperti ini.

Penulis setuju dengan pandangan Amirudin bahawa terdapat ruang dalam kontrak pemain yang membolehkan mereka menebus kontrak dan perkara ini harus diberi perhatian serius oleh FAM dan pentadbir Liga Malaysia, FMLLP.

" Klausa yang membolehkan kontrak ditebus memberi ruang untuk pemain sesebuah pasukan dipancing pada saat akhir ketika pendaftaran pemain sudah hampir tutup.

" Bayangkan jika kami kehilangan Azrif, kami terpaksa mencari pemain daripada pasukan lain dan sudah pasti pasukan itu juga perlu menguatkan barisan dengan pemain dari pasukan lain.

"Saya berharap FAM dan FMLLP memandang serius perkara ini," kata Amirudin ketika ditemui Nadi Arena selepas aksi persahabatan Selangor-Sarawak 19 Januari lalu.

Isu ini juga wajar menjadi pengajaran buat Azrif, untuk bersikap lebih profesional dan memahami segala klausa kontrak yang ditandatanganinya.

Tatkala Liga Malaysia sudah pun memasuki era penswastaan, pentadbiran setiap pasukan juga perlu bertindak dengan kaedah lebih profesional apabila ingin mengemukakan tawaran kepada pemain dengan melakukan pertanyaan secara rasmi kepada pasukan pemain itu.

Pendekatan itu adalah yang biasa dilakukan di Eropah serta kuasa besar Asia seperti Jepun dan Korea Selatan.

Advertisement

Must Watch Video