Kelibat pemain berdarah kacukan tampak menjadi pilihan pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee apabila membentuk skuad negara seramai 25 pemain untuk aksi persahabatan dengan Myanmar 28 Mei ini serta kelayakkan play off Piala Asia, 2 dan 6 Jun depan.
Empat pemain daripada senarai itu, Brendan Gan, Junior Eldstal, Matthew Davies dan Khair Jones adalah berdarah kacukan.
Ini adalah kali pertama lebih daripada dua pemain kacukan dipanggil membentuk pasukan megara.
Kim Swee akui, meminati pemain berdarah kacukan kerana mereka memiliki kualiti dan perwatakan kuat yang mampu membantu pasukan.
Pandangan Kim Swee itu ada kebenarannya, kerana contoh terbaik ialah Brendan yang merupakan antara pemain konsisten musim ini bersama Kelantan walaupun kelibatnya musim lalu terbatas kerana kecederaan lutut ACL.
Pemain lain mungkin akan bersara atau tidak berada pada tahap sama selepas kecederaan seperti itu namun, Brendan kembali cergas dan terus mendapat panggilan mewakili skuad senior kebangsaan.
Pujian wajar diberi kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang berjaya membantu pemain itu mendapat taraf kerakyatan pada 2014.
Brendan layak mendapat taraf kerakyatan kerana bapanya berasal dari Negeri Sembilan.
Tindakan Brendan kemudian diikuti seorang lagi pemain berdarah kacukan, Matthew Davies yang meninggalkan kelab Liga A, Perth Glory untuk bersama Pahang musim lalu.
Terdahulu, Junior Eldstal menjadi pemain kacukan sama bersama skuad negara apabila dipanggil bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal pada 2013.
Kini Khair menjadi pemain kacukan terbaru membarisi skuad kebangsaan selepas aksi konsisten bersama Melaka musim ini.
"Seperti Brendan, Junior dan Matthew, Khair turut mampu memberi kualiti tambahan kepada skuad negara.
"Khair akan bersaing bersama Fadzli Mazlan untuk posisi bek kiri dan kehadirannya memberi ramuan tambahan buat saya," kata Kim Swee ketika ditemui penulis baru-baru ini.
Secara peribadi penulis menyokong kemasukan pemain berdarah kacukan untuk perkuat barisan kebangsaan.
Penulis juga terlibat secara tidak langsung dalam mencadangkan nama Brendan untuk skuad kebangsaan pada 2011.
Namun, Brendan ketika itu tidak bersedia menggugurkan kerakyatan Australia yang dipegang.
Brendan berubah fikiran selepas beraksi sebagai awang import Sabah pada 2012 dan kemudian KAFA tampil menjadikan hasratnya satu realiti.
Penulis cuma berharap, kehadiran mereka mampu membantu barisan negara kembali meningkatkan ranking dunia FIFA Malaysia di tangga 174 kini.
Selain menanti Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menuai hasil, mungkin juga akan ada seorang penyerang berdarah kacukan yang mampu mengisi kekurangan penyerang tempatan berkualiti buat skuad negara.