Skip to main content

Rencana

PKNS FC atau Selangor?

180117-fadzrie-hazis.jpg
Musim 2017 mungkin menyaksikan dilema buat peminat bola sepak di negeri Selangor, sama ada mahu memberikan sokongan buat PKNS FC atau pun skuad negeri Selangor dalam kancah Liga M.

Ia gara- gara kemelut dalaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang seolah tiada penyelesaian sehingga menyaksikan perletakan jawatan presiden persatuan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

Dalam masa sama, PKNS FC pula tampak bergerak ke arah berbeza dengan pengurusan lebih tersusun, program akar umbi berkesan serta pembentukkan skuad lebih ampuh menghadapi saingan musim ini.

Kemasukan tonggak berpengalaman seperti Safee Sali, Amiridzwan Taj Tajuddin dan Khyril Muhymeen Zambri jelas membuktikan skuad kendalian E Elavarasan serius menghadapi saingan 2017.

Selaku pemegang kad pengenalan bernombor "10" sudah pasti jika boleh penulis mahu melihat kedua-dua wakil Selangor  itu mendominasi saingan Liga M musim ini.

Namun, sebagai pengamal media pula  penulis mahu melihat kejayaan  bagi pasukan  yang sedia melakukan perubahan daripada struktur pentadbirannya bagi mencapai syarat perlesenan kelab yang diwajibkan badan pentadbir Liga M, FMLLP untuk musim 2018.

Dalam konteks ini, sudah pasti peminat yang matang dan arif tentang senario bola sepak tempatan juga menyedari, PKNS tampak lebih bersedia berubah berbanding FAS.

PKNS FC sudah pun mempunyai pentadbiran berteraskan kelab, di mana kelab itu mempunyai pentadbiran sendiri walaupun masih milik PKNS dan membawa nama perbadanan itu.

Pada pengamatan penulis, PKNS FC hanya perlu melakukan sedikit penambahbaikan dalam  struktur pengurusannya serta meningkatkan prasarana di Pusat Latihan PKNS, Kelana Jaya bagi mencapai syarat perlesenan kelab yang ditekanan  badan pentadbir Liga M, FMLLP.

PKNS FC  bakal mengumumkan penjenamaan semula kelab itu tidak lama lagi dan penulis optimis, apabila diumumkan pasti ia isyarat mereka sudah bergerak ke arah lebih positif bagi mencapai syarat perlesenan kelab.

Seperti saranan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), perlesenan kelab ini penting bukan saja untuk meningkatkan tahap profesional kelab malah mampu memberi kesan positif terhadap peningkatan tahap bola sepak sesuatu negara.

Thailand, Vietnam, Indonesia dan kini Myanmar adalah negara serantau yang komited menerapkan syarat perlesenan kelab dan lihat saja pencapaian skuad kebangsaan mereka berbanding barisan negara di Piala Suzuki AFF lalu.

Di Malaysia, penanda aras bagi setiap pasukan lulus syarat perlesenan kelab ialah Johor Darul Takzim (JDT).

Penulis percaya, dengan komitmen pucuk pimpinan pengurusan PKNS FC terhadap penswastaan pasukan dan perlesenan kelab, mereka mampu bergerak ke arah sama seperti JDT.

Cuma PKNS FC perlu mengikut kadar kemampuan mereka dalam menerapkan perubahan, kerana  hakikatnya tidak semua pasukan mampu mencapai kejayaan dalam tempoh singkat seperti JDT.

Mungkin segelintir peminat Selangor akan berkata hanya ada satu pasukan "Negeri Selangor".

Tetapi hakikatnya di selatan tanah air, peminat sudah menerima JDT ( yang sebelum 2013 ialah Johor FC) sebagai kebanggaan Johor,  tidak mustahil  warga Selangor  dapat menerima PKNS FC sebagai kebanggaan negeri mereka dalam masa terdekat.

Advertisement

Must Watch Video