Skip to main content

Rencana

Piatek buat Milan lupa Higuain

cover.jpg
Tiada siapa yang peduli sewaktu Genoa membawa masuk seorang penyerang daripada kelab Poland, Cracovia, ketika jendela perpindahan musim panas lalu.
 

Berbekalkan harga EUR4 juta (RM18 juta), nama Krzysztof Piatek sememangnya agak asing apabila mula menjejakkan kaki ke saingan Serie A, namun segalanya berubah enam bulan kemudian susulan kecemerlangannya menyumbat 13 gol dalam saingan liga domestik.
 

 
Ketajaman penyudah di depan gawang membuatkan AC Milan -- yang kurang berpuas hati dengan prestasi penyerang pinjaman daripada Juventus, Gonzalo Higuain, selepas sekadar menghasilkan enam gol dalam liga -- bertindak mahu melepaskan penggempur Argentina itu dan menggantikannya dengan Piatek.
 
Perpindahan itu direalisasikan Januari lalu tatkala Higuain dihantar pulang ke Allianz sebelum dipinjamkan ke Chelsea dan Piatek hadir ke San Siro menerusi bayaran berjumlah EUR35 juta (RM161 juta).
 
Enam hari selepas menandatangani kontrak selama empat tahun enam bulan, Piatek mula mempamerkan taring.
 
Walaupun melalui penampilan pertama tanpa sebarang jaringan, penyerang berusia 23 tahun itu hanya memerlukan kurang dari setengah jam untuk menghasilkan dua gol, sekali gus membantu Rossoneri membenam Napoli 2-0 dan melangkah ke separuh akhir Piala Itali.
 

 
Kerakusan Piatek di depan gol dilihat semakin sukar dikekang apabila menyumbat empat lagi gol, termasuk dua jaringan sewaktu membantu skuad kendalian Gennaro Gattuso itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Atalanta 3-1 di Stadium Atleti Azzurri d'Italia, awal pagi tadi.
 
Ledakan gol ketika berdepan AS Roma, Cagliari dan Atalanta telah membolehkan nama Piatek muncul pemain Milan pertama yang menghasilkan jaringan dalam tiga perlawanan terawal selaku pemain kesebelasan utama.
 
Justeru, keputusan Milan menggantikan Piatek dengan Higuain semestinya sudah mula memberi pulangan memandangkan Chelsea baru menikmati dua jaringan daripada bekas peledak Napoli itu.
 

 
Higuain hadir ke San Siro dengan status hebat selaku bekas pemegang anugerah Capocannoniere (penjaring terbanyak) Serie A bagi musim 2015-16 ketika berada di kota Naples itu tetapi kini mungkin peminat Rossoneri lebih mengingati nama Piatek walaupun dia baru berusia 23 tahun.
 
Jumlah enam gol dalam lima perlawanan dan membantu Milan mengekalkan rekod tanpa kalah sejak tiba di San Siro semestinya membolehkan Piatek membuat Milan lupakan Higuain.
 

Advertisement

Must Watch Video