Skip to main content

Rencana

Piala Malaysia 2018, milik Irfan atau Durakovic?

durakoviccc_1.jpg
Bahang final Piala Malaysia musim 2018 kini semakin dirasai dan tumpuan pasti terarah kepada pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, dan jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Kemampuan skuad Peteh dan Bos Gaurus mara ke final membuktikan mereka adalah pasukan terbaik dalam saingan Piala Malaysia kali ini, apatah lagi dengan kegagalan pasukan pilihan lain seperti Pahang dan juga juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke pentas final.

Secara peribadi, Irfan dan Durakovic juga adalah dua jurulatih yang penulis amat kenali kerana acapkali membuat liputan mengenai mereka sebelum ini.

Irfan seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman lebih 19 tahun, mengendalikan tujuh pasukan dalam saingan Liga M sejak 1999 dan satu pasukan Liga Super Indonesia.

Irfan sudah menjuarai saingan liga dan Piala FA namun kejuaraan Piala Malaysia masih belum berjaya diraih pengendali kelahiran Pulau Pinang yang berasal dari Kelantan ini.

Tidak dapat dinafikan, mungkin ini adalah waktu terbaik buat Irfan meraih kejuaraan berlandaskan keampuhan Terengganu FC musim ini di setiap posisi dan juga aksi konsisten yang dipamerkan dalam saingan Piala Malaysia.

Igor Zonjic tampak ampuh di bahagian benteng bersama dengan Latif Suhaimi, Lee Tuck pula tonggak tengah yang cukup berpengaruh manakala Tchetche Kipre cukup berbisa di bahagian serangan.

Namun, peluang Mehmet meraih kejuaraan Piala Malaysia keduanya juga tidak boleh diperkecilkan dengan aksi konsisten sepanjang musim dalam saingan Liga Super dengan mereka muncul naib juara.

Shahrul Saad jelas sekali pertahanan tempatan terbaik musim ini dan dia adalah tonggak utama benteng Perak dan kebangsaan.

Di bahagian tengah, Leandro dos Santos bersama Brendan Gan membentuk gandingan baik manakala Gilmar da Silva dan Wander Luiz cukup efektif di bahagian serangan.

Bagi penulis, cukup sukar memilih pasukan pilihan pada aksi final kali ini dengan kedua-dua pasukan jelas memiliki kelebihan masing-masing.

Namun, mungkin sedikit kelebihan pada pengamatan penulis adalah buat Mehmet dan Perak.

Seperti ketika mengendalikan Selangor pada 2015, Durakovic mengutamakan hubungan seperti satu keluarga dalam pasukannya dan ikatan itu sebenarnya adalah kekuatan utama mereka.

Dia yang ketika ini dikaitkan dengan kepulangan ke Selangor musim depan pasti mahu memberikan hadiah perpisahan paling bernilai kepada peminat setia Perak yang amat dahagakan kejuaraan Piala Malaysia sejak musim 2000.

Advertisement

Must Watch Video