RENCANA
Percikan genius Messi terus rangsang Barcelona
Barcelona kini kembali menemui rentak dan mengaum kuat.
Biarpun pada waktu sebelum Krismas, Barcelona dilihat sukar untuk menduduki empat tangga teratas liga sekalipun, mereka kini berjaya memenangi tiga perlawanan berturut-turut dan cuma ketinggalan tiga mata daripada musuh ketat, Real Madrid, yang menduduki tangga kedua.
Apa agaknya punca perubahan drastik ini?
Iklan
Menurut akhbar The Daily Mail, antara faktor penyumbang utama adalah temu bual ekslusif Lionel Messi yang meredakan pelbagai spekulasi dan memberikan pencerahan tentang kemelut di balik tabir Barcelona.

Ia juga disandarkan kepada persaingan sihat di antara Martin Brathwaite dan Antoine Griezmann yang menyerlahkan potensi penuh kedua-duanya, pemain yang berpanjangan tercedera, Ousmane Dembele, akhirnya sudah kembali pulih dan tidak ketinggalan, kesilapan ‘budak sekolah’ di bahagian pertahanan sudah diperbaiki, Dalam temu bual ekslusif dua minggu lalu, Messi menyatakan sokongan penuhnya terhadap jurulatih baru, Ronald Koeman.
Selepas temu bual tersebut, Messi kelihatan jauh lebih ceria dan dia kemudian mengakui bahawa dia seperti telah melepaskan satu beban yang lama dipendam setelah meluahkan hampir segala-galanya.
Messi menjelaskan bahawa dia masih berkemungkinan untuk berhijrah pada musim depan tetapi berjanji yang dia akan melakukannya dengan cara terbaik, jika dia membuat keputusan tersebut.
Segala pengakuan dan penjelasan ini nampaknya membolehkan Messi memberikan lebih perhatian kepada persembahannya di atas padang.
Selepas menjaringkan dua gol menentang Granada pada hujung minggu, Messi kini menduduki tangga teratas penjaring terbanyak La Liga musim ini dan dia berazam untuk meneruskan rekodnya sebagai penjaring terbanyak buat musim kelima berturut-turut.
Selain memulihkan prestasinya sendiri, kemajuan rakan-rakan sepasukannya turut memainkan peranan penting.
Brathwaite memainkan peranan cemerlang dalam menggantikan tugasan yang terdahulunya dimainkan oleh Luis Suarez sehinggakan Ronald Koeman memilih untuk menjadikannya sebagai pemain kesebelasan utama dan menggantikan Griezmann.
Griezmann pula ternyata tidak terlalu kecewa dengan keputusan jurulatihnya, malah dia berterusan mencuba untuk merebut kembali tempatnya dan berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan hujung minggu lalu.
Barisan serangan Barcelona disempurnakan dengan kembalinya Dembele, yang sebelum ini mengalami kecederaan jangka panjang.
Koeman memerlukan seorang pemain lincah untuk membuka ruang bagi Messi dan Griezmann, peranan yang dahulunya dipegang oleh Ansu Fati, dan ternyata Dembele tidak mengecewakan, malah kelihatan semakin maju.
Dengan lengkapnya trio serangan, Koeman turut mengenal pasti gabungan pemain tengah terbaik yang boleh digunakannya -- Pedri dan Frenkie De Jong kini memainkan fungsi penting bagi menghubungkan bahagian tengah dengan barisan penyerang.
Fungsi ini ternyata tidak begitu efisien pada awal musim sehinggakan Messi seringkali terpaksa berundur ke bahagian tengah demi mendapatkan bola tetapi masalah ini nampaknya sudah diatasi.
Akhir sekali, bahagian pertahanan Barcelona yang kelihatan begitu mudah dibolosi sebelum ini sudah diperbaiki -- segala kesilapan remeh yang tidak sepatutnya berlaku telah dihapuskan dan ini menyumbang kepada peningkatan mendadak dalam rekod kemenangan Barcelona.
Di sebalik segala berita positif ini, Koeman juga seharusnya sedar bahawa masih terdapat banyak kelemahan dalam pasukannya.
Misalnya, sewaktu menentang Athletic Bilbao minggu lalu, Barcelona dibolosi selepas hanya tiga minit dan nyaris dibolosi berkali-kali lagi sebelum mereka akhirnya mengetatkan pertahanan.
Biarpun mereka sudah tidak ketinggalan jauh berbanding Real Madrid, pendahulu liga, Atletico Madrid, mampu menjarakkan perbezaan dengan Barcelona sebanyak 13 mata jika mereka memenangi tiga perlawanan dalam tangan ketika ini.
Kemajuan terkini Barcelona sememangnya satu berita menggembirakan buat peminat ‘Blaugrana’ tetapi hakikatnya adalah seluruh pasukan masih lagi bertunjangkan Messi dan perjalanan mereka masih sangat jauh bagi menggapai status yang serupa dengan barisan skuad legenda sewaktu zaman Pep Guardiola menjadi ketua jurulatih.
Jika Messi tercedera atau tiada lagi bersama pasukan, mampukah Barcelona yang rata-ratanya dipenuhi pemain muda terus memberikan saingan?
Must-Watch Video