Skip to main content

Rencana

Perang jersi kelab Eropah dan dilema peminat jersi tempatan

jersi-150717.jpg
Pada ketika ini, kelab-kelab Eropah sedang rancak memperkenalkan seragam bagi musim baru.

Sesetengah daripadanya sudah memulakan tujuan promosi dengan menyarung jersi baru laman sendiri sejak penghujung musim lalu dan dalam pra-musim ini pula, mereka mula menampilkan jersi pilihan kedua mahupun ketiga.

Bagi mereka, perjanjian kontrak dengan syarikat pengeluar pakaian dan tarikan reputasi pemain-pemain tertentu mampu melariskan penjualan jersi, seterusnya meningkatkan kantung kelab.

Menurut statistik daripada pengedar barangan sukan seperti kitbag and sportsdirect pada musim lalu, permintaan terhadap jersi Barcelona dengan nama Lionel Messi paling menjadi buruan peminat, disusuli
Cristiano Ronaldo (Real Madrid), Paul Pogba (Manchester United), Zlatan Ibrahimovic (Manchester United) dan Mesut Ozil (Arsenal).

Jenama besar seperti Nike dan Adidas bukan lagi asing dalam bola sepak.

Dengan populariti gah Liga Perdana Inggeris (EPL), usaha komited mereka itu menarik minat pelabur dengan saingan membabitkan 20 pasukan itu menjana GBP226.5 juta (RM1.2 bilion) manakala Bundesliga dan LaLiga pula melebihi angka GBP100 juta (RM560 juta).

United, misalnya, meraih pendapatan sampingan berjumlah GBP750 juta (RM42 juta) dalam tempoh 10 setahun hasil perjanjian dengan pengeluar barangan sukan tersohor dari Amerika Syarikat (AS), Nike.

Secara puratanya, Red Devils menjual 1.7 juta jersi replika sepanjang 10 tahun kebelakangan ini.

Kaji selidik yang dijalankan Sports Sponsorship Insider yang merangkumi perjanjian dengan 3,100 kelab, termasuk 450 kontrak secara individu, mendapati secara keseluruhannya, pihak penaja melabur sebanyak EUR2.85 bilion (RM13.9 bilion) ke atas bola sepak Eropah pada musim lalu.

Pertukaran selera Chelsea dan Tottenham Hotspur kepada jenama lain juga membawa manfaat kepada bidaan yang lebih tinggi di mana hasil daripada perjanjian itu, Spurs akan menikmati GBP30 juta (RM168 juta) setahun dan Chelsea, GBP60 juta (RM336 juta).

Dalam tempoh 48 jam James Rodriguez mendarat di Real Madrid pada 2014 dengan nilai GBP63 juta (RM353 juta), jersi replikanya sudah terjual sebanyak 345,000 helai (bernilai GBP20 juta),  demikian cara kelab Eropah mengimbangi kewangan mereka.

Demikian ringkasan penajaan jersi di Eropah tetapi dalam masa yang sama, selepas tiga tahun pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) diberi tempoh menuju ke arah penswastaan kelab yang akan bermula sepenuhnya pada musim depan, masih terdapat segelintir lagi pasukan yang memandang remeh mengenai kepentingan jersi ini.

Demi menjaga air muka, ada pasukan yang masih berselindung dengan istilah penajaan walhal sebenarnya pakaian seragam mereka adalah dibeli daripada pihak pengeluar.

Bahkan, jersi latihan pun tidak cukup apabila gagal disediakan secukupnya oleh pihak penaja tatkala saingan Liga M sudah berada pada pertengahan musim.

Sesetengah penyokong Liga M pula masih tidak tahu di mana jersi replika boleh didapati kerana pihak pengurusan pasukan hanya berurusan dengan orang tengah.

Itulah antara dilema penggemar jersi tempatan serta serba sedikit langkah-langkah kelab gergasi Eropah untuk mengimbangi kos operasi mereka, antara cabangnya adalah melalui penjualan jersi yang
melibatkan nilai mencecah angka berbilion dolar.
 

Advertisement

Must Watch Video