Skip to main content

Rencana

Perak sebagai contoh sikap tidak putus asa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

perak.jpg
Kejayaan Perak memenangi kejuaraan Piala Malaysia kelmarin, wajar diteladani dan dijadikan iktibar oleh setiap yang menyaksikan perlawanan final tersebut.

Dengan bencana besar yang menimpa pasukan itu sepanjang separuh masa pertama, ia tidak sedikitpun mematikan semangat mereka untuk bergelar juara.

Bayangkan, mereka ketinggalan sepanjang babak tersebut hasil kesilapan dua pemain mereka sendiri.

Seawal minit pertama, gawang mereka bocor dek kesilapan pertahanan, Idris Ahmad.

Penjaga gawang, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, turut melakukan kesilapan sama berbaki tiga minit sebelum waktu rehat yang membiarkan kapten Terengganu, Tchetche Kipre, mengecap gemilang selaku penjaring dua gol tersebut.

Itu belum mengambil kira jaringan Leandro Dos Santos yang dibatalkan pengadil pada minit ke-35.

Betapa besar penderitaan yang dihadapi mereka sepanjang babak itu.

Tangisan Hafizul Hakim sebaik bermula waktu rehat sudah cukup menggambarkan kekecewaan dan kesedihan yang dialaminya ketika itu.

Namun, perlawanan masih belum tamat.

Entah apa yang diperkatakan ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, kepada mereka di dalam bilik persalinan, Perak kembali ke gelanggang dengan jiwa yang baru.

Kegagalan dalam separuh masa pertama dilupakan serta-merta.

Seminit perlawanan bersambung, Firdaus Saiyadi menjaringkan gol pertama The Bos Gaurus.

Kehilangan seorang pemain tidak mengapa.

Perjuangan perlu tetap diteruskan.

Kehilangan Gilmar Da Silva ditampung dengan usaha yang jitu.

Bak segorombolan laskar di medan perang, tiada apa mampu menafikan perjuangan mereka memburu jaringan.

Waktu di penghujung saingan waktu paling baik membuktikan kredibiliti.

Perak berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas Brendan Gan menjadi penjaring dalam masa kecederaan.

Kejayaan tidak datang dengan mudah.

Dugaan sentiasa ada bersama setiap yang berusaha.

Perak sekali lagi ketinggalan di belakang selepas Faiz Nasir menjaringkan gol buat Terengganu.

Usaha dan terus berusaha.

Tiada kenal erti putus asa.

Akhirnya, setiap peluh yang mengalir ke tanah seakan berbaloi selepas tonggak pertahan Terengganu, Igor Zonjic, terjaring bola ke gawang sendiri.

Aksi dalam penentuan sepakan penalti jelas milik Perak.

Jika Hafizul Hakim pada awalnya menangisi kekecewaan dalam  babak pertama, dia kini boleh menangis kegembiraan sebaik dia menyelamatkan dua sepakan penalti pertama Terengganu.

Jika Dos Santos kecewa kerana jaringannya dibatalkan sebelum itu, kini dia bergembira selepas menyudahkan sepakan terakhir yang memutlakkan kejuaraan buat Perak.

Sikap tidak berputus asa seperti itu yang perlu diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

Jika anda seorang yang pernah menemui kegagalan sebelum ini, percayalah itu bukan penamatnya.

Selagi ada usaha yang dilakukan, pasti ada harapan yang akan tiba.

Apa yang penting adalah sentiasa berusaha dan jangan pernah berputus asa.

Tahniah buat Perak di atas kejayaan menjulang Piala Malaysia.

Terima kasih di atas pengajaran yang tidak ternilai yang telah anda berikan kepada kami.

 

Advertisement

Must Watch Video