RENCANA
Pengampunan pemain rasuah
Tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi pengampunan penuh kepada 78 bekas pemain yang terbabit dengan gejala rasuah bola sepak 1994, 9 Mei lalu menimbulkan pelbagai reaksi.
Ada yang mempersoalkan tindakan FAM itu dan ada juga yang berasa kesemua bekas pemain terbabit sudah dihukum secukupnya selama 22 tahun.
Pengampunan penuh daripada FAM, membolehkan mereka terbabit sebagai pegawai atau jurulatih mana-mana pasukan Liga Malaysia selepas ini.
Iklan
Secara peribadi, penulis rasa berbelah bagi dengan keputusan yang dibuat FAM apabila pengampunan penuh kepada kesemua bekas pemain tersebut.
Apakah tindakan yang dibuat FAM ini memberi gambaran positif terhadap usaha memerangi gejala rasuah bola sepak, kerana sehingga hari ini sukar kita menafikan ia sudah dibanteras sepenuhnya.
Hanya dua tahun lalu, saingan Liga Malaysia dikejutkan dengan isu rasuah membabitkan skuad Kuala Lumpur dengan 17 pemain dikenakan hukuman denda RM5,000 seorang dan amaran keras.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM ketika itu, Datuk Taufek Razak menjelaskan hanya tindakan denda diambil kerana FAM mengambil kira faktor pemain menjadi mangsa keadaan dipaksa penaja untuk terbabit dengan gejala rasuah.
Namun, tiada tindakan terhadap penaja atau mana-mana pegawai Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang membawa penaja tersebut terbabit dengan skuad Kuala Lumpur pada musim 2013.
Sebelum itu pada 2011, bekas jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof dihukum penjara 15 bulan dan denda RM200,000 selepas didapati bersalah atas 20 tuduhan memberi rasuah berjumlah RM24,700 kepada pemainnya.
Bekas awang import Selangor dari Lubnan, Ramesz Dayoub dibatalkan pendaftarannya bersama FAM pada Febuari 2013 selepas terbabit dengan gejala rasuah ketika bersama skuad kebangsaaan negaranya.
Pemain pertahanan itu dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup dan didenda 15,000 Dollar oleh Persatuan Bola Sepak Lubnan.
Tiga kes gejala rasuah bola sepak itu memberi gambaran jelas, ia masih belum dibanteras sepenuhnya dan pemantauan masih perlu dilakukan dari masa ke semasa.
Apa pun, FAM sudah pun membuat keputusannya dan apa yang mungkin boleh kita harapkan ialah kesemua bekas pemain yang mendapat keampunan itu sudah insaf sepenuhnya.
Penulis juga amat berharap, ada antara mereka mampu memberikan komitmen untuk memerangi gejala rasuah dengan bersedia berkongsi pengalaman pahit mereka digantung dengan pemain masa kini serta pemain di peringkat akar umbi.
Ia dapat memberi kesedaran kepada pemain masa kini dan di peringkat akar umbi untuk tidak sesekali melibatkan diri dengan gejala rasuah bola sepak.
Must-Watch Video