Skip to main content

Rencana

Pemain futsal Perlis pun 'kena game'

perlis-futsal.png
Bukan saja pasukan bola sepak Perlis, skuad futsal Perlis juga tak dapat gaji! Kemelut tunggakan gaji yang dialami pasukan Perlis kini semakin 'panas'.

Pendedahan terbaru mengenai kemelut tunggakan gaji Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dikongsi rakan penulis yang juga pemain futsal pasukan itu yang namanya enggan didedahkan.

Menurut pemain yang pernah beraksi bersama skuad futsal negara itu, mereka senasib dengan pemain skuad Liga Super Perlis susulan tidak menerima gaji selama dua bulan. 

Pemain itu mengakui mereka sudah tawar hati untuk beraksi bersama pasukan itu dan masing-masing mahu mendapatkan pasukan lain menjelang saingan Futsal Pro-League yang akan diadakan buat julung kalinya tahun ini.

Skuad futsal Perlis sebelum ini tampak serius untuk mencabar kejuaraan tahun ini selepas memborong 19 pemain kebangsaan. Dalam hati penulis, "tak nak kalah"!

Jumlah itu membabitkan sembilan pemain lelaki dan 10 wanita yang akan menjadi taruhan skuad Singa Utara dalam usaha PFA melakukan transformasi pasukan futsal mereka. "Hmm, dengar boleh , percaya jangan", kata penulis dalam hati lagi.

Malah, Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, meletakkan sasaran untuk muncul juara dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita pada liga kali ini.

Beliau turut menjelaskan skuad futsal lelaki dan wanita Perlis akan mengharungi persiapan pra-musim di Uzbekistan. "Wow, hebatnya kamu, yakinnya kamu", seperti lirik dalam lagu Police Entry, nyanyian Elizabeth Tan.

Antara pemain kebangsaan yang menyertai skuad futsal lelaki Perlis adalah Khairul Effendy Mohd Bahrin, Azwan Ismail dan Saiful Nizam Mohd Ali manakala skuad wanita pula diperkuatkan dengan Intan Sarah Anisah Zulgafli, Hanis Farhana Shamsul Azizan dan Siti Asnidah Zamri. 

Penulis bersimpati dengan nasib pemain-pemain futsal Perlis kerana mereka bukan seperti pemain bola sepak yang mungkin mempunyai simpanan kewangan mencukupi, sebaliknya kehidupan mereka ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.'

Jadi, penulis mengharapkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat membantu menangani permasalahan ini untuk memastikan pemain futsal Perlis menerima hak masing-masing yang sewajarnya.

Advertisement

Must Watch Video