Skip to main content

Rencana

Pekikan Safee: Pemain jangan sekali-kali diperhamba

safee-sali.jpg
Safee Sali adalah satu manifestasi seorang pemain bola sepak yang telah menjelajahi dua ‘kutub’ berbeza – di antara yang terbaik dan yang terburuk.

Mengapit persinggahan dua musimnya bersama PKNS FC sehingga musim lalu ialah limpahan kemewahan empat musim bersama kelab bangsawan, Johor Darul Ta’zim (JDT), sejak 2013 disusuli usia pertengahan 30-annya yang membawa kepada perpindahan singkatnya ke Perlis yang tidak berkemampuan.

Kebetulan pula kedua-duanya di hujung paling berlawanan – dengan satu di selatan dan satu lagi di utara.

Keputusan terbaru Safee untuk angkat kaki daripada pasukan Perlis semalam bermakna dengan hanya balingan sebutir batu, ia mengena tiga ekor burung sekali gus – Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Malah, serpihannya turut terkena setiap pasukan yang mewarnai kancah Liga Super dan Liga Perdana untuk mereka turut mengambil iktibar.

Sedari awal lagi, ia sudahpun kelihatan seumpama satu “konspirasi gelap” yang terdedah kini sebagai langsung menyalahi tabii.

PFA, dengan kepemimpinan baru yang mewarisi pentadbiran terdahulu yang berhutang gaji pemain-pemain sebelumnya, menjadi ‘saudagar janji’ dengan tujuan melayakkannya bertanding dalam Liga Perdana – meskipun dari pintu belakang.

Tanpa merit kelayakan, skuad Singa Utara itu yang hanya bermodalkan beberapa surat hasrat daripada bakal penaja serta kebanjiran bintang yang diuar-uarkan, masih berupaya menagih kepercayaan pihak-pihak berwajib dalam bola sepak negara untuk permaidani merah dihamparkan buat mereka.

Tiada jaminan penaja akan mengotakan janji atau pemain-pemain ternama – Safee tidak terkecuali – akan dibayar gaji tepat pada waktunya, namun Perlis dengan naratif untuk mengembalikan kegemilangan silam – juara liga pada 2005 dan juara Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 – sudahpun menang pusingan pertama.

FAM mudah terpujuk dan tergoda tanpa melakukan usaha wajar (due diligence) untuk menyatakan sokongan buat penyertaan skuad Singa Utara itu di sebalik mereka bukan tergolong antara dua pasukan teratas Liga FAM 2018 – melainkan hanya di tangga kelima di peringkat kumpulan.

Seiring dengan kedua-duanya pula, MFL mengabaikan seketika segala amalan tata kelola baik masa lalunya – usah nafikan MFL sudah banyak melakukan penambahbaikan kepada liga -- hanya untuk menghulurkan Perlis ‘talian hayat ekspres’ yang sangat-sangat diharapkannya.

Secara logiknya, Perlis tidak pun berbeza dengan pasukan-pasukan lain haruslah membuktikan keupayaan dahulu baik melalui Liga FAM atau Piala Cabaran dan dilengahkan hanya semusim penyertaannya ke dalam Liga Perdana andai mereka betul-betul bagus.

Bagaimanapun, diplomasi PFA, terutama presiden barunya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, mungkin luar biasa.

“Perlis mampu memberikan nilai tambah kepada Liga Malaysia” dan “Perlis memiliki kekuatan dalam meningkatkan nilai komersial Liga-M berdasarkan perancangan jangka panjangnya” – begitulah antara dalil MFL, baik Lembaga Pengarah atau Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, dalam mewajarkan kemasukan pintu belakang Perlis menjelang penghujung tahun lalu.

Rata-rata peminat bola sepak – kecuali barangkali hanya penyokong skuad Singa Utara itu – segera mempertikaikannya menerusi pelbagai platform media sosial tapi ia tidak ubah seperti perbuatan mencurah air ke daun keladi.

Apa pula kata MFL ketika itu?

"Pada saya, isu pemilihan Perlis tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya dicetuskan oleh sesetengah pihak yang tidak senang dengan kewujudan MFL dari awal," Kevin dipetik sebagai berkata dan tiadapun penafian daripadanya.

Apabila ketiga-tiga pihak berkenaan sudah bersekongkol, maka rasmilah Perlis menjadi kerabat terbaru Liga Perdana musim ini -- di sebalik tiada jaminan kini mereka akan kekal demikian.

Kesudahannya, ketiga-tiga pihak terbabit yang menanggung kesipuan kini dan paling tidak diingini, pemain seperti Safee yang periuk nasinya adalah bermain bola sepak profesional – hingga pernah membawanya berkelana ke Indonesia -- menjadi mangsa.

Lebih dua bulan tidak bergaji bersama Perlis, mujur juga buat Safee jika benar ada pasukan lain – dilaporkan Petaling Jaya City -- yang sedia menawarkan peluang kedua buatnya dengan tangan terbuka.

Namun, perkara yang sama tidak boleh diandaikan buat pemain Perlis selebihnya pada ketika majoriti pasukan lain sudah mencukupkan kuota pemain tempatan mereka.

Apakah pemain-pemain ini juga harus menjadi nelayan seperti segelintir pemain Perlis yang terdahulu daripada mereka?

Itupun dalam kes Safee ini, dia sudah lama bersabar dengan menagih daripada satu janji kepada janji berikutnya untuk akhirnya tidak mampu bersabar dan digula-gulakan dengan kata-kata manis lagi.

Usahkan Safee, malah sesiapa saja yang bekerja, termasuk mereka yang berjawatan eksekutif dalam badan berkuasa bola sepak sekalipun, akan turut berasakan peritnya andai lebih dua bulan tidak bergaji.

Namun, apa yang sepatutnya dihindarkan berlaku dari mula jika pihak-pihak berkaitan lebih telus dan peka, sudahpun berlaku.

Cuma, diharapkan ada pengajaran yang boleh ditimba kerana mereka yang tidak mahu belajar daripada sejarah, akan melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang kali.

Safee juga silap kerana terlalu percayakan kata-kata manis ‘saudagar janji’ tetapi tindakan terbarunya menghantar laungan amat lantang bahawa pemain-pemain bola sepak dalam era profesional ini, usah sekali-kali diperhambakan, apatah lagi diperas tanpa habuan.

Ia juga mengirim peringatan jelas kepada FAM dan MFL agar tidak berkrompomi dalam soal-soal prinsip tanpa melayakkan pihak yang tidak berhak, atas apapun alasan dan jaminan yang diberikan.
Matlamat tidak menghalalkan cara.

Dalam analogi bola sepak, sepakan penalti Adisak Kraisorn pada minit terakhir di hadapan penyokong sendiri sekalipun belum memastikan Thailand kemenangan andai sentuhan terakhirnya tinggi mengawan. 

 

Advertisement

Must Watch Video