RENCANA
Nostalgia 16 Mei 2002
Salam dari Kunshan.
China bukan lagi kuasa besar badminton? Persoalan itu mungkin bermain di fikiran peminat sukan seluruh dunia selepas menyaksikan bagaimana Korea Selatan merobohkan Tembok Besar China di halaman sendiri, di hadapan penonton sendiri pada saingan suku akhir Piala Thomas.
Ini kali pertama sejak 1984, ketika format lima perlawanan terbaik Piala Thomas diperkenalkan China gagal mara ke separuh akhir. Dan ini kali kedua-dua berturut-turut China gagal ke final selepas kecewa di separuh akhir dua tahun lalu di New Delhi kepada Jepun.
Iklan
Melihat kejayaan Korea ini, fikiran saya melayang kepada 14 tahun yang lalu, bertempat di Guangzhou China. Dalam kejohanan Piala Thomas edisi ke-22 di Stadium Tertutup Pusat Sukan Tianhe, skuad Piala Thomas negara mencipta sejarah tersendiri apabila menumbangkan Naga Merah 3-1 pada saingan separuh akhir untuk mara ke final.
Ia liputan Piala Thomas pertama saya dan masih jelas di ingatan bagaimana wira-wira badminton negara melenyapkan sorakan padu lebih 15 ribu penyokong China.
Walaupun perseorangan utama negara ketika itu Wong Choong Hann tewas perlawanan pertama kepada Xia Xuanze namun Malaysia bangkit menerusi beregu Chan Chong Ming / Chew Choon Eng, perseorangan Hafiz Hashim sebelum mata kemenangan disumbangkan Choong Tan Fook / Lee Wan Wah.
Kemenangan 3-1 itu menyaksikan perseorangan ketiga negara Lee Tsuen Seng tidak perlu turun beraksi kerana lawan yang menantinya ketika itu ialah legenda badminton China ketika ini, Lin Dan.
Betapa gembiranya saya dan rakan-rakan wartawan Malaysia lain meraikan kemenangan luar biasa Malaysia ini, yang ketika itu dilatih Indra Gunawan dan Park Joo Bong termasuk Misbun Sidek , hingga, membuatkan ketua jurulatih China Li Yongbo diam dan termenung.
Ia kenangan cukup berharga dan bila saya lihat Korea melakukan perkara yang sama pada Khamis, ia membangkitkan kembali nostalgia 16 Mei, 2002.
Must-Watch Video