Skip to main content

Rencana

Negaraku - Sumareh

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

44091866_1865914993505256_6541220077818085376_o.jpg
Terkumat kamit bibir pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh mengalunkan lagu Negaraku di Stadium Hang Jebat pada Selasa.

Sepertimana serasi Sumareh dengan skuad kendalian Tan Cheng Hoe, begitu juga bait lagu Negaraku yang nampaknya tidak kekok pada pemain kelahiran Gambia itu.

Sumareh yang dikenali sebagai The Keli Boy, ibarat percaturan terbesar skuad negara di Kejohanan Piala AFF buat kali pertamanya ‘melanggar pantang’ dengan membuka ruang kepada pemain naturalisasi, sesuatu yang tidak pernah dilakukan Malaysia sebelum ini.

Itu sudah cukup jelas betapa besar harapan yang tergalas di bahu Cheng Hoe selepas lapan tahun Malaysia sepi dari sebarang kejuaraan di peringkat senior.

2010 kita berbangga dengan kudrat anak watan, yang berjaya membawa cerita gembira Harimau Malaya selaku juara Piala AFF namun untuk mengulangi pencapaian yang sama dua tahun seterusnya, ia gagal berlaku.

Ceritera pemain naturalisasi mula dialunkan pengendali negara yang menggantikan kelibat Datuk K Rajagobal, iaitu Dollah Salleh pada 2014 yang menyuarakan pendapat, Malaysia perlu ada pemain naturalisasi untuk seiring dengan perkembangan pasukan lain di Asia Tenggara.

Hasrat itu hanya temakbul 4 tahun kemudian, dan percaturan Cheng Hoe bakal menjadi eksperimen apakah benar pemain naturalisasi mampu mengubah landskap bola sepak negara.

Sudah pasti watak Sumareh memainkan peranan penting bukan hanya untuk skuad kebangsaan tetapi jika berjaya Sumareh mampu membuka mata pengkaji dan pemerhati bola sepak negara, mungkin lebih banyak slot akan dibuka untuk pemain naturalisasi bagi tempoh terdekat sebagai persediaan bola sepak negara untuk mara setapak lagi iaitu pentas Asia. 

Advertisement

Must Watch Video