Skip to main content

Rencana

Mengharap pengakhiran gemilang di Kunshan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lukman-salleh.jpg

Salam dari Kunshan, China.

Saya kini berada di bandar yang terletak di antara bandaraya Shanghai dan Suzhou. Kunshan yang terkenal dengan terusan atau sungai yang bersimpang siur di bandaraya ini bakal menjadi tuan rumah kejohanan badminton berpasukan lelaki dan wanita paling berprestij di dunia iaitu Piala Thomas dan Piala Uber.

Ini kejohanan Piala Thomas edisi ke-29 dengan China kembali menjadi tuan rumah selepas Guangzhou pada 2002 dan Wuhan, 2012. Dan ini kali ketujuh saya akan membuat liputan Piala Thomas sejak kali pertama pada 2002 di Guangzhou. Saya hanya terlepas edisi 2008 di Jakarta, Indonesia.

'Rekod' saya dalam enam liputan Piala Thomas ialah dua kali naib juara, dua kali mara ke separuh akhir dan selebihnya terkandas di peringkat kumpulan - rekod yang boleh dianggap memuaskan.

Saya melihat bagaimana pasukan Piala Thomas 'terlepas' kejuaraan pada 2002 di Guangzhou dan 2014 di New Delhi India. Kedua-dua edisi itu saya anggap Malaysia mempunyai peluang terbaik untuk merangkul kejuaraan… namun apakan daya mungkin nasib dan tuah tidak menyebelahi pasukan negara.

Justeru, persoalan sekarang mampukah barisan Piala Thomas kali ini yang diterajui Datuk Lee Chong Wei mampu merangkul kejuaraan? Tekaan anda semua sebaik tekaan saya. Pada saya, kejohanan kali ini paling terbuka. Tiada satu pasukan yang boleh dianggap memiliki kekuatan seimbang dalam perseorangan mahupun beregu. China memiliki 2 perseorangan yang hebat tetapi beregu agak meragukan. Begitu juga dengan Indonesia, Korea Selatan dan juga gergasi Eropah, Denmark.

Kali ini mana-mana negara seperti China, Malaysia , Indonesia, Korea Selatan dan Denmark mampu muncul juara. Jepun, juara dua tahun lalu kehilangan 2 tonggak perseorangan, Kenichi Tago dan Kento Momota yang jelas melemahkan pasukan itu. Jika pemain Malaysia mampu mengekalkan persembahan terbaik secara konsisten, maka pasukan kita mampu mara ke final. 

Saya harap begitulah. Apapun menang atau kalah, ini kali terakhir saya akan membuat liputan Piala Thomas. Sudah tiba masanya saya berundur mengikut jejak langkah rakan seperjuangan saya yang lain. 

Harap-harap akan ada penyudah gemilang!

Advertisement

Must Watch Video