Skip to main content

Rencana

McMenemy jadi igauan Harimau Malaya?

mcmecover.jpg
Tak tahulah ia berita baik atau sebaliknya buat Harimau Malaya…

Dipecat daripada jawatan ketua jurulatih Indonesia, 5 November lalu, Simon McMenemy awalnya dilaporkan enggan turut serta bersama pasukan untuk berdepan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa depan.

Namun, atas ketegasan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang baru, Mochammad Iriawan, maka jurulatih berbangsa Scotland itu tiada pilihan kecuali menyelesaikan baki tugasnya.

"Sebenarnya dia tidak berniat untuk tidak datang ke Malaysia, jadi mohon diperbetulkan.

"Yang bersangkutan memang dia masih mendampingi tim saat melawan Malaysia. Dia mau dan akan berangkat ke Malaysia," kata Mochammad yang akrab disapa Iwan Bule seperti dipetik portal bolasport.com.



Di bawah kendalian McMenemy yang dilantik pada Disember tahun lalu, Indonesia tewas kesemua empat perlawanannya dalam Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 setakat ini – 2-3 kepada Malaysia, 0-3 kepada Thailand, 0-5 kepada UAE dan 1-3 kepada Vietnam – untuk terperosok di tangga terbawah.

Seawal kekalahan kedua kepada Thailand lagi di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) pada 10 September lalu – lima hari selepas ditundukkan Malaysia – penyokong sudah pun menularkan tanda pagar #SIMONOUT menerusi media sosial.

Diperbudakkan 0-5 oleh UAE di Stadium Al-Maktoum, Dubai pada 11 Oktober dan kemudian tewas pula 1-3 kepada Vietnam di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Jawatankuasa Eksekutif PSSI akhirnya tunduk kepada desakan untuk memecat McMenemy.



Malah, ikrar jurulatih itu untuk menebus imej Sang Garuda dengan memacu mereka ke tangga kedua peringkat kumpulan daripada baki empat perlawanan, segera mengundang cercaan peminat yang enggan lagi menaruh kepercayaan kepadanya.

Begitupun, ia bukan penghalang buatnya untuk menyematkan azam agar sekurang-kurangnya Malaysia ditundukkan Selasa depan sebagai salam perpisahan dan bingkisan selamat tinggal daripadanya – kebetulan ia perlawanan terakhir McMenemy akan mengendalikan Sang Garuda.

Laporan foxsportsasia.com pula menyebut PSSI akan terpaksa membayar pampasan lumayan kepada bekas jurulatih kelab Bhayangkara FC berusia 42 tahun itu kerana memendekkan kontrak dua tahunnya yang sepatutnya berakhir pada Disember 2020.

Dilaporkan kontraknya meliputi gaji kira-kira AS$20,000 (RM82,850) sebulan dan PSSI perlu melunaskan baki 13 bulan gajinya yang akan berjumlah kira-kira AS$260,000 (RM1,077,050).

“Itu adalah risiko kontrak, satu perjanjian sah yang kami tidak boleh gantikan sekarang,” kata Iwan Bule, yang menambah: “Kami perlu memilih pencapaian atau wang.”

Bekas ketua jurulatih Indonesia dari Sepanyol, Luis Milla, dan bekas ketua jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong, kini disebut-sebut sebagai calon pengganti.

Alang-alang akan bergelar jutawan segera, McMenemy harus mahu diingati sebagai jurulatih yang merencanakan kekalahan Malaysia di kandang sendiri.

Sebagaimana hangatnya sambutan di SUGBK, 5 September lalu, peminat boleh turut meyakini keadaannya tidak akan banyak berbeza dengan kebanjiran penyokong mereka.



Sama ada ia berita baik atau buruk buat Harimau Malaya, nantikan kesudahannya menjelang tengah malam Selasa depan.

Advertisement

Must Watch Video