RENCANA
Mata Botak: Milner terawal, terakhir
Sewaktu James Milner menjejakkan kaki ke Anfield secara percuma pada 2015, tidak ramai yang mengambil kisah mengenai kehadiran pemain tengah kelahiran Wortley, Leeds itu.
Lebih menimbulkan kemusykilan rata-rata peminat The Reds, dia dinamakan selaku pembantu ketua pasukan hanya tiga bulan selepas menyertai Liverpool.
Namun, selepas lima tahun, segala keraguan terhadapnya berubah ekoran keupayaan menjadi 'pembantu' utama buat pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, susulan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah, Piala Super UEFA serta Piala Dunia Kelab.
Iklan
Sepanjang tempoh di Anfield, Milner bukanlah pemain pilihan utama Klopp untuk mengisi kesebelasan utama tetapi setiap kali pengendali itu memerlukan khidmatnya di mana-mana posisi, pemain berusia 34 tahun itu berjaya melunaskan kepercayaan yang diberikan.
Apa rahsianya?
Dalam satu temubual dengan pemain muda Liverpool, Curtis Jones, dia mendedahkan Milner adalah seorang pemain yang sangat profesional dan komited di atas padang.
"Saya tidak melihat Milner sebagai pemain yang gila-gila tetapi dia sangat profesional, sanggup memberikan segala kudrat yang ada.
"Setiap kali sesi latihan di padang atau di gimnasium, dia merupakan individu yang terawal tiba dan terakhir meninggalkan sesi tersebut. Ia bukti yang jelas bahawa Milner sentiasa mahu menjadi pemain terbaik buat dirinya," katanya.
Jones -- yang merupakan penjaring gol tunggal sewaktu pasukannya menewaskan Ajax sekaligus mengesahkan tiket ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, baru-baru ini -- turut berkongsi pandangannya mengenai tonggak baru Liverpool, Diogo Jota.
Baginya, kemampuan Jota meledakkan sembilan gol dalam musim sulung bersama Liverpool bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan dia sudah lali dengan persekitaran bola sepak di England.
"Kami menjangkakan dia akan menyesuaikan diri dengan cepat kerana Jota hadir daripada salah sebuah kelab yang bagus, Wolverhampton Wanderers."
Selaku peminat Manchester United, perit untuk mengakui tahap komited yang dipamerkan pemain Liverpool seperti Milner dan Jota tetapi realitinya, itulah aspek yang diimpikan dalam setiap pasukan.
Terawal dalam setiap sesi dan terakhir meninggalkan kem latihan semestinya satu kesungguhan yang harus meraih pujian. Bukan setiap bola mencanang impian peribadi untuk beraksi bersama pasukan lain. Anda tahu siapa?
Must-Watch Video