Gembira betul pesilat negara kita, Mohd Al Jufferi Jamari ini apabila dapat pamerkan silat yang cukup hebat di negara Eropah.
Apatah lagi, dia berjaya pertahankan pingat emas di Kejohanan Silat Terbuka Belgium 8 Mei yang lalu. 8 pingat emas, 3 perak, dan 1 gangsa menjadikan Malaysia sebagai juara keseluruhan dan mencipta sejarah tersendiri kerana berjaya pertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut turut.
Jufferi, pesilat kategori Putera dan Mohd. Fauzi Khalid serta Siti Rahmah Mohamed Nasir (Puteri) masing-masing menghadiahkan satu pingat emas.
Sempat saya bertanyakan kepada Jufferi tentang pengalaman di sana. Menariknya, pesilat dari Eropah semakin hebat dalam seni silat. Jadi, persaingan juga semakin sengit dan dia sendiri tidak boleh pandang rendah terhadap mereka. Bukan Melayu sahaja pandai bersilat, mat saleh pun tidak kurang hebatnya!
Seramai 111 pesilat dari 13 negara termasuk Algeria, Belanda, Jerman, Austria, Switzerland, United Kingdom, dan Perancis beraksi pada kejohanan selama tiga hari tersebut.
Apa yang saya boleh katakan, kejayaan manis pesilat negara kita sudah pasti dapat dijadikan pemangkin untuk mereka terus cekal mengharumkan nama negara dalam seni silat ke peringkat antarabangsa.
Yang lebih penting semestinya Sukan Sea 2017 tahun hadapan menjadi misi penting buat pesilat negara khususnya bagi Jufferi sendiri untuk kekalkan pingat emas dalam genggaman.
Terima kasih atlit silat negara kerana terus harumkan negara dengan seni silat yang cukup hebat !