Skip to main content

Rencana

Masih di takuk lama

mikel_1.jpg
Jika Brazil tersingkir awal, apakah ugutan yang akan diterima Neymar?

Andai England kalah, adakah Harry Kane berada di dalam keadaan selamat?

Dan katakanlah Belgium tewas, adakah Eden Hazard akan tidur nyenyak?

Persoalan ini berlegar-legar di fikiran penulis selepas membaca laporan akhbar antarabangsa berkaitan ugutan dan ancaman yang diterima pemain yang sudah pun tersingkir awal.

Saingan Piala Dunia Russia 2018 sudah pun memasuki edisi yang ke-21. Di saat kita berbangga dengan adanya pelbagai teknologi canggih, kualiti padang dan segala-galanya yang berkisar kemajuan, pemikiran sesetengah pihak masih lagi berada di takuk lama.  

Sebagai contoh, kegagalan sesebuah pasukan untuk mara ke peringkat seterusnya telah menyebabkan individu yang beraksi menjadi sasaran melepaskan geram.

Tersingkirnya Nigeria di peringkat kumpulan menyebabkan bapa kepada ketua pasukan, John Obi Mikel, diculik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

John Obi Mikel terpaksa membayar wang tebusan berjumlah hampir RM110,000 untuk mendapatkan semula bapa beliau. Biarpun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun budaya sebegini tidak sepatutnya masih berlaku. Ini merupakan kali kedua kejadian ini menimpa Mikel. Kali pertama pada 2011 juga dengan mosud operandi yang sama.

Terbaru, kegagalan Denmark layak ke peringkat seterusnya menyaksikan pemain mereka, Nicolai Jorgensen, menerima ancaman ugutan bunuh. 

Ini berikutan Jorgensen gagal menyempurnakan sepakan penalti, sekaligus menjadi salah satu punca mengapa mereka tumbang kepada Croatia. 

Laporan polis telah pun dibuat oleh Persatuan Bolasepak Denmark dan mereka memandang serius akan perkara ini.

Penulis berharap agar gejala tidak sihat seperti ini mampu dihentikan agar tidak menjadi satu budaya dalam sukan bola sepak. 

Pasti peminat bola sepak dunia masih mengingati kisah “The Two Escobar” yang penulis anggap sebagai salah satu catatan hitam dalam sejarah bola sepak dunia. 

Contohilah semangat juang dan adab yang dipamerkan pasukan Jepun. Skuad mereka mendapat pujian atas aksi baik di atas padang namun apa yang lebih menarik, kebersihan bilik persalinan mereka selepas perlawanan turut tular di media sosial.

Advertisement

Must Watch Video