Skip to main content

Rencana

"Mana bisa penyerang tempatan?"

malaysiaa43e5a083d81604aa734ff0000212b38.jpg
Skuad bola sepak negara sekali lagi gagal menemui sentuhan penyudah apabila sekadar terikat tanpa jaringan ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Myanmar di Yangon, Sabtu lalu.

Ia susulan daripada keputusan yang sama diraih ketika skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menerima kunjungan Macau di Melaka pada 29 Mac.

Ketandusan jaringan ini bermula daripada pertemuan terakhir kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia dengan Harimau Malaysia tumpas 0-2 kepada Arab Saudi.

Berbalik kepada pertemuan menentang Myanmar, pelbagai reaksi dapat dilihat khususnya laman sesawang bola sepak yang membuat analisa terperinci mengenai kelemahan skuad negara.

Antara yang jadi tumpuan sudah pasti ketiadaan penyudah berbisa yang diharapkan oleh barisan penyerang negara.

Namun bagaimanakah perkara ini dapat diperbaiki jika semua pasukan tempatan menyandarkan kepada tonggak import bagi mengetuai bahagian serangan?

Lihat sahaja carta penjaring terbanyak saingan Liga Malaysia musim ini di mana tonggak import mendominasi 10 teratas selepas berakhirnya 12 perlawanan.

Pemain Felda United, Francis Forkey Doe serta Juan Martin Lucero daripada pasukan JDT menerajui penjaring terbanyak Liga Super dengan 10 gol.

Begitu juga dengan Liga Perdana, dua pemain import, Gabriel Guerra serta Ilija Spasojevic, masing-masing daripada pasukan PKNS FC dan Melaka dominasi carta penjaring terbanyak dengan 13 gol.

Malah bagi kejohanan kalah mati seperti Piala FA juga menyaksikan tiada pemain tempatan dalam senarai lima penjaring terbanyak di mana Jorge Pereyra Diaz daripada pasukan JDT peroleh 8 gol.

Pertemuan play-off kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste awal Jun ini seharusnya menyaksikan skuad negara perbaiki aspek ini seandainya tidak ingin terus mengecewakan harapan peminat.

Bagi barisan penyerang tempatan, penulis harap situasi ini dapat beri lebih cabaran kepada mereka untuk buktikan mereka tidak kehilangan sentuhan penyudah selain temui semula keyakinan untuk pamer aksi lebih baik sepanjang 90 minit perlawanan.

Advertisement

Must Watch Video