Skip to main content

Rencana

Malaysia dah ada Kaka, Messi pun sudah..next?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

faiz-nasir-malaysia.jpg
Pemain sayap Selangor, Faiz Nasir kini mula meniti di bibir peminat bola sepak tanah air selepas berjaya membantu meletakkan skuad Harimau Malaya di kedudukan ketiga Piala Airmarine 2019.

Meskipun ramai yang mempertikaikan saiz fizikalnya yang bertubuh kecil, Faiz membuktikan ia tidak menjadi penghalang buatnya untuk melakukan rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke 43 dalam keadaan hujan lebat sekaligus membantu Malaysia menewaskan Afghanistan 2-1.

Kejayaan pada penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan itu, meningkatkan semangat pemain 27 tahun ini untuk terus bersedia menyarung jersi Malaysia sekiranya dipanggil pada masa hadapan.

Fenomena ini sama seperti Nazmi Faiz Mansor yang pernah menjadi bualan ramai sehingga digelar Kaka Malaysia selepas melakukan jaringan cantik dari jarak 30 meter ketika Malaysia berhadapan Bahrain di kelayakan Sukan Olimpik London 2012 terdahulu. 

Melalui ruang komen di media sosial, netizen kebanyakannya menyuarakan pendapat bahawa Faiz yang menampilkan aksi berkualiti tinggi di Piala Airmarine itu sepatutnya sudah diberi peluang dari dahulu lagi oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Apa yang lebih teruk, mereka turut melepaskan kemarahan di ruangan komen kerana menganggap setiap jurulatih yang pernah mengendali skuad kebangsaan mempunyai sifat 'berat tulang' untuk meninjau prestasi pemain yang sepatutnya layak berada di dalam senarai pemain kebangsaan dan bukannya hanya memilih pemain yang sama sahaja. 

"Bagi aku yang jadi coach harimau malaya ni semua ambik kerja mudah.. Tukar la coach seramai mana pun pasti player yg sama juga dia ambik sebab suka tengok senarai player atas kertas yang pernah sarung jersi malaysia berbanding tengok prestasi player yang cemerlang atas padang. Kalau coach jenis suka tengok prestasi player yang cemerlang atas padang pasti ramai muka baru yang akan wakil harimau malaya.”

"Sepatutnya tahun lepas lagi dia layak dipanggil untuk skuad kebangsaan. Ternyata Cheng Hoe 'buta' menilai prestasi pemain. Selepas ini bagilah banyak kali pada dia untuk bermain dengan pasukan Malaysia"

Namun, ada juga yang mempersoalkan sampai bila skuad negara mahu menggunakan khidmat nama-nama yang pernah menabur jasa tanpa mencari lebih ramai muka baharu untuk dipertaruhkan dalam skuad Harimau Malaya akan datang.

"Saya kenal pemain saya.. itu katanya.. kena cari player baru kalau tak ada player baru mana datangnya pengalaman... player lama dah banyak bermain untuk negara.. biar jasa mereka jadi kenangan.. ramai lagi yang boleh bermain.."

"Bolasepak Malaysia tak akan boleh pergi jauh lagi dah.. negara yang mundur daripada Malaysia sekarang dah boleh pergi sedikit demi sedikit.. Malaysia makin ke belakang.. hairan bin ajaib laa."

Pada pendapat saya, bagi seseorang pemain bola sepak untuk bermain sehingga umur 40an itu adalah satu perkara yang jarang berlaku jadi ada benarnya juga apa yang dikatakan oleh netizen, kita perlukan lebih ramai pemain muda dengan bakat besar sebagai pengganti nama-nama veteran. 

Selain itu, bakat ubi muda yang sudah berjaya dicungkil seperti Nazmi Faiz yang pernah melakar sejarah dengan jaringan jarak jauhnya itu perlu diketengahkan lagi dalam skuad kebangsaan supaya dapat didedahkan dengan perlawanan peringkat antarabangsa. 

Jangan nanti bila sudah puas jadi perbualan, Messi tidak, Kaka pun tidak tetapi yang ada cuma bualan dan angan-angan kosong. Malaysia tidak pernah tandus bakat tetapi setiap pemain perlu dipantau dan dikawal sebaiknya.

Advertisement

Must Watch Video