Skip to main content

Rencana

Malaysia, China, Kanada Jangan pandang "enteng" Austria

hockey-generic_670-835058.jpg
Berdasarkan undian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), skuad hoki negara dilihat mempunyai peluang cerah ke pentas final Siri Akhir Hoki Dunia yang akan diadakan di laman sendiri, Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 26 April hingga 4 Mei ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama China, Brazil dan Itali sementara Kumpulan A menyaksikan Kanada, Austria, Wales dan satu lagi pasukan yang akan diisi menggantikan tempat Vanuatu yang menarik diri daripada mengambil bahagian.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia, Malaysia dan Kanada merupakan dua pasukan pilihan ke pentas final sekali gus meraih dua tiket automatik ditawarkan untuk bermain peringkat kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020.

Kumpulan A:
- Kanada (No. 10 dunia)
- Austria (No. 19 dunia)
- Wales (No. 24 dunia)
- Akan diumumkan kelak

Kumpulan B:
- Malaysia (No. 13 dunia)
- China (No. 14 dunia)
- Brazil (No. 27 dunia)
- Itali (No. 37 dunia)

Tiga pasukan dilihat mempunyai peluang seimbang iaitu Malaysia, Kanada dan China tetapi saya lebih berminat untuk melihat skuad negara muncul sebagai juara Kumpulan B agar terus layak ke peringkat separuh akhir.

Ini kerana saya difahamkan, kejohanan ini menggunakan format sama seperti digunakan pada Piala Dunia 2018 dengan juara peringkat kumpulan automatik mara ke separuh akhir manakala pasukan tempat kedua dan ketiga akan bermain crossover untuk menentukan dua lagi pasukan ke separuh akhir.

Dalam Kumpulan B, Brazil dan Itali dilihat ‘boleh makan’ tetapi skuad negara perlu berhati-hati dengan China kerana berjaya melenyapkan kritikan untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2018 terutama seri 1-1 dengan England dan Ireland dalam peringkat kumpulan.

Malaysia berpeluang merisik awal kekuatan Kanada kerana lawan ini akan mengambil bahagian dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada hujung Mac ini.

Namun, anak-anak buah Roelant Oltmans juga tidak boleh memandang ringan keupayaan Austria seandainya bertemu pada Siri Akhir Hoki Dunia nanti memandangkan lawan tersebut kini dilatih bekas pengendali India, Cedric D’Souza.

Saya tertarik untuk menyaksikan kemampuan Austria kerana D’Souza pernah mendapat pujian melangit sewaktu mengemudi skuad remaja Austria pada Piala Dunia Hoki Remaja 2016.

Walaupun skuad remaja Austria menamatkan kejohanan pada tempat ke-12 tetapi mereka berjaya mengikat Argentina 1-1 sebelum menewaskan Korea Selatan 5-2 sewaktu aksi peringkat kumpulan.

Saya percaya kebanyakan pemain daripada skuad remaja Austria kini pastinya sudah menjadi sebahagian dalam pasukan senior Austria dan mampu memberikan impak yang besar.

Lebih-lebih lagi apabila ramai pemain mereka didedahkan dengan bermain bersama kelab-kelab di Belgium, Jerman dan Belanda seperti perancang utama di bahagian tengah, Benjamin Stanzl yang pernah menjulang gelaran Liga Hoki Eropah suatu masa dahulu.

Bagi pemain negara, gagal pada Sukan Asia 2018 bukanlah penamat dan mereka harus memberikan tumpuan seratus peratus kepada komitmen bersama pasukan kebangsaan sehinggalah Malaysia berjaya layak ke Sukan Olimpik 2020.

Tanggungjawab begitu besar perlu dipikul para pemain dan barisan kejurulatihan kebangsaan sebaik tamatnya saingan Liga Hoki Malaysia selepas ini.

Advertisement

Must Watch Video