Skip to main content

Rencana

Liverpool: Masihkah ramai meyakini?

flopp-cover-pix.jpg
Satu tinjauan pendapat terhadap siapa yang akan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020-21 mendapati 47 peratus responden masih meramalkan Liverpool. 

Tinjauan itu yang dilakukan laman web espn.com selepas juara bertahan itu tunduk 0-1 kepada Bunley – pasukan di tangga ke-16 – di Anfield awal pagi tadi, meletakkan Manchester City selaku pilihan kedua dengan hanya 13 peratus undian.

Rumusan terhadap tinjauan itu adalah pelbagai – daripada sebahagian besar 151,037 respondennya harus dalam kalangan penyokong Liverpool sendiri yang tetap setia mengundi pasukan mereka hinggalah kepada merudumnya The Reds ketika ini hanya dianggap sementara.
Katakanlah apa saja tetapi pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, sendiri mengakui was-was dengan keupayaan pasukannya untuk kekal dalam perlumbaan kejuaraan, dengan mereka kini ditinggalkan enam mata oleh siapa lagi kalau bukan Manchester United di tangga teratas.

United hanya mendapat 12 peratus undian untuk bergelar juara daripada tinjauan yang sama.
“Ia satu tumbukan kuat ke muka kami,” kata Klopp selepas kekalahan terbaru pasukannya itu sambil menjelaskan mereka tidak mempunyai sesiapa yang lain untuk dipersalahkan melainkan diri sendiri.
“Kami tidak dapat membayangkan perlumbaan kejuaraan pada waktu ini,” akuinya lagi.

Rekod 68 perlawanan tanpa kalah Liverpool di Anfield yang dipertahankan selama empat tahun, lebur sudah – lebih pedih lagi kepada lawan yang lebih hampir kepada zon penyingkiran berbanding pasukan-pasukan dalam kelompok empat atau lima teratas.

Ashley Barnes bingkas bangun selepas terdahulu dikasari penjaga gol, Alisson, untuk menyudahkan sepakan penalti yang diberikan pada minit ke-83 bagi Burnley meraikan satu kemenangan yang akan menjadi bualan buat satu tempoh yang panjang.





Keputusan 0-1 itu bermakna barisan bimbingan Klopp itu sudah melalui satu rentetan lima perlawanan liga tanpa sebarang kemenangan.

Lebih daripada itu, kebuntuan Liverpool di depan gol juga bermakna mereka baru menang sekali ke atas pasukan-pasukan dalam kelompok enam terbawah musim ini.

Apa yang harus dikhuatirkan penyokong mereka, The Reds boleh terus tercicir daripada kelompok pesaing ke peringkat Eropah jika Tottenham (33 mata daripada 18 perlawanan) dan Everton (32 mata daripada 17 perlawanan) memanfaatkan perlawanan yang masih ada dalam tangan. 

Perihal kekalahan Liverpool di tangan Burnley itu yang berlaku sehari selepas United menundukkan Fulham 2-1 di Craven Cottage untuk membuka jurang enam mata dengan musuh tradisi mereka itu, ibarat menambah garam kepada luka.






Statistik memeritkan:

Ini hanya kemenangan kedua Burnley ke atas pasukan juara bertahan di tempat lawan;

Liverpool telah mengharungi empat perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol buat kali pertama sejak Mei 2000.

Liverpool telah mengharungi lima perlawanan liga tanpa kemenangan – hanya kali kedua di bawah Klopp.

Liverpool membuat 27 percubaan terhadap pintu gol Burnley – paling banyak dilakukan mereka dalam satu perlawanan sejak berdepan Reading (28 percubaan) pada April 2013 dan berdepan West Brom (30 percubaan) pada April 2012.


Seterusnya, Liverpool akan bersemuka dengan Manchester United dalam saingan pusingan keempat Piala FA di Old Trafford, awal Isnin ini (1.00 pagi).
Mengambil kira keadaan terkini mereka, ia harus menyeramkan. Dalam pada itu, mereka mungkin hanya takutkan pasukan bawahan.
 

Advertisement

Must Watch Video