Skip to main content

Rencana

Liverpool jauh daripada persis juara

klopp.jpg
Mohamed Salah hampir menitiskan air mata ketika digantikan, Jordan Henderson menyanggah keputusan mengeluarkannya manakala Sadio Mane seperti acuh tak acuh.

Menggabungkan kesemuanya daripada keputusan seri 0-0 dengan Manchester United, Ahad lalu, ia harus memberi petanda awal Liverpool tidak akan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Adakah pembenci The Reds gembira?

Saingan masih berjarak 11 perlawanan dengan penutup musim tapi United sudah mendedahkan barisan bimbingan Jurgen Klopp itu tidak memiliki ciri-ciri secukupnya untuk menamatkan penantian 29 tahun bagi merajai EPL semula.

Hanya satu mata di atas Manchester City di mercu EPL, apa yang harus menyesakkan nafas ialah Liverpool sedang mengharungi tempoh kemerosotan prestasi – keputusan seri dengan United itu adalah yang ketiga dalam empat perlawanan terakhir – untuk keciciran enam mata berharga.

Enam mata itu saja mungkin terbukti sangat kritikal untuk The Reds terlepas kejuaraan sekali lagi pada ketika Chelsea dan Tottenham adalah antara lawan yang menanti dalam menuju ke garisan penamat.

Klopp tidak berselindung dengan hakikat pasukannya perlu terus belajar bagaimana untuk menyerap dan menangani tekanan dalam pemburuan gelaran – sesuatu yang mereka belum mahirkan diri jika dibandingkan dengan Manchester City.

Pengurus dari Jerman berusia 51 tahun itu sendiri masih tercari-cari formula diperlukan selepas dua kali kelab itu sekadar berkesudahan di tangga keempat di bawah pengawasannya di Anfield.



Berdepan United yang terpaksa menggantikan tiga pemain yang cedera dalam separuh masa pertama -- Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard – Liverpool tidak pun mampu memanfaatkan kesempatan berkenaan.

Keseluruhannya, The Reds hanya mempunyai satu percubaan tepat ke sasaran pada ketika Mane seperti acuh tak acuh, Roberto Firmino terhincut-hincut terkehel pergelangan kaki sambil Salah mendapati sukar melepasi Luke Shaw.

Apa sudah jadi kepada trio Salah-Firmino-Mane hingga jentera penggempur Liverpool tidak lagi digeruni?

Musim lalu, ketiga-tiganya dicemburui tapi dengan hanya 56 gol dan bantuan jaringan sesama mereka musim ini, ia sebenarnya merosot sebanyak 30 gol daripada peringkat ini tahun lalu.

Salah, khususnya, menyumbat 44 gol dalam semua kejohanan tahun lalu untuk dibobatkan Pemain Terbaik Tahunan PFA. Musim ini, dia baru mencapai separuh jumlah itu.

Ramai penganalisis turut memperhalusi gelagat Klopp di kawasan teknikalnya di garis tepi padang sebagai mencerminkan pasukan kendaliannya sedang bermasalah.

“Klopp mengetahuinya. Jika anda memerhatikan gelagatnya, dia semakin kecewa dengan beberapa pemain tonggaknya berkaitan tempo, hantaran dan posisi mereka,” kata pengulas ESPN, Craig Burley.

Klopp tidak pun tersilap dalam rumusannya bahawa perlawanan besar seperti menentang United itu hendaklah dimenangi jika mereka bercita-cita untuk tampil selaku yang terbaik.

Dengan itu gagal dilakukan, haruskah, haruskah Liverpool ditabal juara musim ini?

Advertisement

Must Watch Video