Skip to main content

Rencana

Liverpool jangan nak ada-adakan alasan

livpool-cover.jpeg
Liverpool dengan hanya separuh kekuatan dalam kesebelasan utamanya mungkin lebih baik daripada separuh daripada pasukan-pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
 
Mungkin ya, mungkin juga tidak.
 
Namun, tanggapan itu akan teruji apabila Liverpool yang pincang tanpa sebahagian pemain pilihan utamanya kerana krisis kecederaan, menyambut kunjungan Leicester City di Anfield, Ahad ini (3 pagi Isnin waktu Malaysia).
 
Pertemuan Leicester di tangga teratas dan Liverpool di tangga ketiga dengan cuma satu mata memisahkan kedua-duanya, menepati ciri-ciri perlawanan tumpuan minggu ini. Dan lebih daripada itu, tumpuan akan terarah kepada apa bentuk kesebelasan yang akan ditampilkan pengurusnya, Jurgen Klopp.
 
Liverpool barangkali akan turun tanpa ramai bintang yang cedera tapi pada waktu yang sama, pengurus Leicester, Brendan Rodgers, turut tidak terkecuali daripada mengharungi musim sejauh ini dengan dinafikan khidmat sebilangan tonggak pasukannya.
 
Menjelang pertemuan kedua-dua pasukan, legenda England, Gary Lineker, yang membuat 194 penampilan bersama Leicester di antara 1978-85, mengingatkan penyokong Liverpool bagaimana The Foxes terpaksa menangani krisis kecederaannya sendiri untuk kini bermegah di singgahsana liga.
 


Di sebalik tumpuan yang berbahagi kepada Liga Europa setiap Khamis pada ketika sebilangan pemain utama terpaksa disihkan, Leicester jelas bersemarak – menang enam daripada lapan perlawanan liga di samping unggul dalam ketiga-tiga saingan Liga Europa setakat ini.
 
Tidak pun berbeza, kepulangan Rodgers ke Anfield hujung minggu ini tidak diiringi lima pemain pertahanan -- Timothy Castagne, Caglar Soyuncu, Christian Fuchs dan Ricardo Pereira sambil Jonny Evans digantung.
Daniel Amartey terus direhatkan, Wesley Fofana pula masih meneruskan rawatan lututnya di samping Jamie Vardy tidak terlepas daripada pemerhatian pasukan perubatan terhadap bengkak dan lebam di sana-sini.

Maknanya, jika Liverpool berandaian krisis kecederaannya kronik – tanpa Virgil van Dijk, Joe Gomez, Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson di benteng di samping Jordan Henderson, Alex Oxlade-Chamberlain dan Mohamed Salah – lawan mereka itu juga tidak banyak berbeza.

Lineker tampil mempertahankan bekas kelabnya itu yang dianggap senasib dengan Liverpool dan tidak pun memiliki sebarang kelebihan ke atas pasukan tuan rumah itu.
“Leicester telah ketiadaan empat pertahanannya, malah lima pemain terbaiknya, untuk sebahagian besar musim ini tapi masih di tangga teratas.

“Tapi mereka masih jauh daripada ‘keajaiban’ musim 2016 (ketika The Foxes muncul juara liga di bawah kendalian Claudio Ranieri),” katanya seperti dipetik akhbar Daily Star UK.
“(Masalah) Liverpool juga tidak sebesar di Istanbul (apabila mereka bangkit daripada ketinggalan 0-3 dalam babak pertama untuk mengikat kedudukan 3-3 dan menang penalti 3-2 ke atas Milan dalam final Piala Eropah 2005).

“Jadi, kita tidak harus hilang perspektif,” kata Lineker lagi sebagai sindiran.

Klopp dilaporkan turut menyenaraikan lapan pemain muda daripada akademi sebagai langkah berjaga-jaga, namun ia mungkin hanya sebahagian perang psikologi untuk menggambarkan betapa parahnya mereka ketika ini.

Daripada segi realitinya, The Reds masih memiliki calon kesebelasan secukupnya untuk merampas tangga teratas sekalipun ia memerlukan Klopp menukar kombinasi dan formasi.
Benarkah separuh kekuatan kesebelasan utamanya lebih baik daripada separuh pasukan lain?
 
Kredit foto: goal.com
 

Advertisement

Must Watch Video