Skip to main content

Rencana

Lima perkara menarik perlawanan kedua UCL

lionel-messi.jpg
Aksi kedua Liga Juara-Juara (UCL) musim 2018-2019 berakhir awal pagi tadi dan seperti yang dijangka, ia telah menyajikan perlawanan-perlawanan penuh dramatik.

Kelab-kelab Barcelona dan Dortmund kini selangkah untuk mara ke pusingan kedua selepas meraih mata maksimum dalam dua perlawanan manakala Tottenham mengalami kekalahan kedua dan jalan mereka dilihat semakin kabur untuk tembus ke pusingan seterusnya.

Edin Dzeko, Paulo Dybala dan Neymar meledak hatrik manakala aksi mantap dipamerkan oleh Lionel Messi dan Antoine Griezmann yang bertindak sebagai perancang kemenangan pasukan mereka.

Messi pamer aksi lima bintang

Sebilangan pihak mengangkat Messi sebagai pemain terhebat dalam sejarah, persaingannya bersama bersama Cristiano Ronaldo telah mengubah landskap bola sepak dengan persembahan luar biasa mereka sejak sedekad lalu.

Kecemerlangan Messi memberikan keuntungan untuk Barcelona meraih gelaran, termasuk dua ‘treble’ yang diraih ketika kelab dikendalikan oleh Pep Guardiola dan Luis Enrique.

Bagaimanapun, Barcelona bergelut dalam saingan Eropah sejak beberapa musim lalu apabila gagal melepasi suku akhir sejak 2016 dan terpaksa melihat Real Madrid meraih tiga gelaran UCL berturut-turut.

Antara faktor mereka bergelut dalam saingan Eropah ialah kegagalan Messi berada di tahap terbaik -- Messi tidak menjaringkan gol dalam aksi suku akhir UCL sejak 2013, kemarau jaringan dalam 10 perlawanan dan ia merupakan sesuatu yang ganjil melihat kepada rekod jaringan yang telah dihasilkannya setiap musim.

The Catalans mendominasi Sepanyol dengan menjuarai tujuh gelaran LaLiga sejak 2008, diangkat sebagai juara Copa Del Rey dalam empat edisi terakhir dan UCL semestinya kembali menjadi tumpuan utama mereka.

Messi tidak menunggu lama untuk kembali membuka mata semua pihak apabila mencetak hatrik dalam aksi pertama berdepan PSV dan sekali lagi mengulangi persembahan berkualiti ketika mengatasi Tottenham 4-2 di Wembley.

Merancang dua gol pembukaan skuad kendalian Ernesto Valverde dan dua percubaannya terkena palang sebelum melengkapkan kemenangan Barca dengan dua gol dalam separuh masa kedua.

Barcelona akan menaruh harapan kepada Messi mengetuai pasukan untuk sekali lagi berada di kemuncak Eropah, dan ia telah dibuktikan dengan persembahan berdepan Tottenham.

Mo Salah belum bangun

Salah mengharungi musim terbaiknya dengan meledak 44 gol dalam semua kejohanan bagi musim 2017-18 untuk membantu Liverpool mara ke final UCL serta mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat keempat.

Diangkat sebagai Pemain Terbaik PFA dan PWA serta berada dalam senarai pendek tiga pemain bagi anugerah Pemain Terbaik UEFA dan FIFA.

Salah dianggap sebagai salah seorang bintang masa depan yang bakal mengambil alih takhta Messi dan Ronaldo apabila dua bintang ini bersara.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Mesir itu kini berdepan cabaran sebenar yang dihadapi barisan elit dunia. Bergelut untuk tampil aksi berkualiti dalam perlawanan penting dan sekadar menjaringkan tiga gol dalam 10 perlawanan musim ini, jika dibandingkan pada musim lalu, dia menjaringkan tujuh gol dalam 10 perlawanan.

Ramai yang menjangkakan Salah akan meneruskan prestasinya bagi membuktikan dirinya bukan sekadar cemerlang semusim tetapi pemain berusia 26 tahun itu bergelut ketika beraksi dalam tekanan.

Ronaldo dan Messi mengekalkan tahap terbaik dalam sedekad dan ketika ini, Salah masih lagi jauh ketinggalan.

Hati-hati sama Atleti

Atletico Madrid merupakan antara bukan pasukan pilihan tetapi mereka dianggap sebagai "kuda hitam" saingan UCL.

Prestasi Los Rojiblancos melonjak sejak beberapa tahun lalu, berkembang menjadi salah sebuah pasukan pilihan untuk menjuarai LaLiga sejak Diego Simeone mengambil alih kelab pada 2011.

Mereka mara ke dua aksi final UCL dalam lima tahun, tewas kedua-duanya kepada Real Madrid pada 2014 serta 2016, dan merupakan penyandang gelaran Piala Super UEFA dan Liga Europa.

Memulakan kempen UCL menerusi kemenangan 2-1 ke atas Monaco sebelum mudah mengatasi Club Brugge 3-1 di laman sendiri.

Atletico Madrid membawa masuk beberapa pemain berkualiti pada musim panas lalu sebagai persiapan menghadapi jadual perlawanan yang sibuk pada musim 2018-19 dan dijangka menampilkan kejutan buat barisan gergasi Eropah dalam UCL.

Kumpulan C tunaikan janji sebagai "Kumpulan Maut"

Liverpool diundi bersama gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) serta naib juara Serie A, Napoli, dan juara Serbia, Red Star Belgrade.

Kualiti tiga pasukan utama sangat kuat menyaksikan Kumpulan C dilabel sebagi kumpulan maut, dengan hanya dua pasukan bakal layak ke pusingan kedua.

Dalam aksi terdahulu, Liverpool mengatasi PSG 3-2 di Anfield manakala Napoli seri tanpa jaringan di Serbia tetapi perlawanan kedua telah mencorak persaingan yang lebih menarik.

Liverpool menampilkan aksi yang paling hambar di bawah kendalian Jurgen Klopp ketika tewas 1-0 di Naples manakala PSG membelasah Belgrade 6-1 di Parc des Princes.

Napoli merupakan satu-satunya pasukan yang masih belum tewas buat ketika ini, mendahului saingan dengan empat mata, manakala PSG dan Liverpool mengumpul tiga mata.

The Partenopei akan berdepan PSG dalam dua aksi berturut-turut manakala Liverpool akan berusaha untuk bangkit dalam aksi seterusnya.

Harry Kane perlukan kelab lebih besar daripada Tottenham

Kane mempertingkatkan mutu permainannya sejak menjadi penyerang utama Spurs pada 2014, berkembang sejak dipinjamkan ke beberapa pasukan hingga membentuk dirinya sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia pada ketika ini.

Mengatasi Ronaldo dan Messi pada 2017 sebagai pencetak jaringan terbanyak di samping memenangi Kasut Emas EPL pada 2016 dan 2017.

Walaupun telah dikaitkan bakal menyertai beberapa kelab ternama Eropah, pemain berusia 25 tahun itu setia bersama Spurs selepas menandatangani kontrak lanjutan.

Untuk pemain yang berbakat seperti Kane, dia masih belum memenangi sebarang gelaran utama dan selepas dua perlawanan UCL, Tottenham tidak meraih sebarang mata. Tewas kepada Inter dalam aksi pertama sebelum tunduk kepada Barcelona di Wembley.

Sejak beberapa musim lalu, Tottenham masih lagi tidak mampu untuk memberikan cabaran bagi menjulang gelaran dan buat masa ini, seluruh skuad Spurs perlu bangkit untuk seiring dengan kualiti dimiliki Kane.

Advertisement

Must Watch Video