RENCANA
Lengkap sudah angin perubahan
Tahniah buat gergasi badminton Eropah, Denmark yang berjaya menamatkan penantian 67 tahun untuk merangkul kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama dalam sembilan percubaan.
Ia juga Piala Thomas pertama buat Denmark sekaligus menyaksikan piala keagungan badminton berpasukan dunia itu terbang merentasi benua Asia ke benua Eropah untuk bersemayam di Copenhagen, ibu pejabat Persatuan Badminton Denmark.
Ketika saya tiba di Kunshan ini saya ada menulis mengenai angin perubahan yang mungkin berlaku dalam kejohanan kali ini dan kejayaan Denmark menepati ramalan saya. Kemenangan Denmark ini pasti membuka mata pasukan Asia dan juga badminton dunia. Asia tidak lagi kebal seperti dulu. Gergasi seperti China, Indonesia, Malaysia dan Jepun tidak lagi digeruni.
Iklan
Eropah hanya ada satu pasukan handalan sejak dahulu lagi ketika Piala Thomas ini diperkenalkan pada 1949 iaitu Denmark. Dalam memenangi Piala Thomas ini, Denmark menumbangkan tiga juara sebelum ini iaitu Jepun di suku akhir, Malaysia di separuh akhir dan Indonesia di pentas final. Saya pasti jika Denmark bertemu China, mereka juga mampu menundukkan tuan rumah.
Apa yang istimewa mengenai pasukan Denmark ini yang menjulang Piala Thomas pada ketika jagoan-jagoan mereka terdahulu seperti Erland Kops, Svend Pri, Flemming Delfs, Morten Frost, Poul-Erik Hoyer Larsen, Thomas Lund, Peter Gade, Kenneth Jonassen dan beberapa lagi pemain terkemuka Denmark gagal melakukannnya?
Ia adalah kombinasi kekuatan pemain dan semangat jitu berpasukan.
Sebenarnya Denmark memiliki tiga pemain perseorangan dalam kelompok 15 terbaik dunia iaitu Viktor Axelsen, Jan O Jorgensen dan Hans-Kristian Vittinghus. Mereka memiliki dua beregu dalam kelompok sepuluh terbaik dunia Mathias Boe / Carsten Mogensen dan Mads-Konrad Petersen / Mads-Pieler Kolding manakala beregu ketiganya Kim Astrup / Anders Rasmussen berada pada ranking ke-23 dunia.
Sebelum tiba, Denmark kehilangan Morgensen kerana masalah kesihatan hingga terpaksa merombak gandingan beregu mereka. Malah Jorgensen juga dilanda kecederaan sebelum pulih untuk beraksi di pentas final. Namun semangat tinggi mereka berjaya mengharungi semua cabaran itu.
Satu lagi keistimewaan Denmark ialah semangat berpasukan itu. Seperti kata jurulatihnya Kenneth Jonassen "Banyak keikhlasan dalam pasukan Denmark. Kami sentiasa berbincang antara satu sama lain. Kami tidak letakkan tekanan kepada satu-satu pemain dengan menyatakan mereka perlu menyumbangkan mata. Semua pemain perlu memainkan peranan dan menyumbangkan mata."
Itu resepi kejayaan Denmark, yang membezakan mereka dengan pasukan Asia dan mungkin selepas ini Asia yang perlu berasa gerun dengan pasukan dari Eropah.
Salam dari Kunsan. Xie Xie.
Must-Watch Video