Skip to main content

Rencana

Layak ke Olimpik sudah satu kejayaan!

pandelelarinong.jpg

MENGHITUNG detik 3 bulan sebelum Olimpik, atlit negara kini sedang berjuang habis-habisan demi tiket ke bumi Brazil. Jika ramai negara besar sudah ada ratusan atlit sudah layak, negara kerdil seperti Malaysia hanya ada 14 atlit yang layak ketika ini.

Terbaru olahraga menerusi atlit lompat tinggi, Nauraj Singh dan satu slot diraih sukan angkat berat pada kejohanan Asia di Uzbekistan. Saya anggap atlit Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik wajar dijulang selaku wira negara.

Bukan senang untuk beraksi di pentas tertinggi dunia kerana ada atlit yang terpaksa mengharungi kelayakan sepanjang tahun, ada juga yang layak menerusi sesebuah kejohanan. Namun tidak ramai yang tahu betapa banyak usaha, tenaga dan masa dicurahkan atlit negara semata-mata untuk merealisasikan impian beraksi di temasya Sukan Olimpik.

Jika 4 tahun lalu kita punyai 29 wakil di Olimpik London, saya jangkakan bilangan atlit hampir sama ke Rio, Brazil nanti namun dengan atlit yang lebih berkualiti. Mengapa?

Jika renang dan olahraga kita sekadar layak atas tiket wildcard ke London, kini, kita sudah ada atlit renang dan olahraga yang layak secara merit sehingga memecahkan rekod kebangsaan!

Perenang negara, Welson Sim layak dalam dua acara gaya bebas (200m & 400m) dengan kedua-dua acara memecah rekod kebangsaan. Tidak kurang hebatnya, atlit lompat tinggi, Nauraj Singh yang bukti bahawa keinginan diri sendiri melebihi segalanya walaupun tanpa jurulatih, dia masih mampu lakar lompatan yang berupaya bawa dia layak secara merit ke Olimpik Rio.

2 atlit ini sudah cukup membuat saya bangga bahawa bukan semuanya suram dalam arena sukan negara. Jika sebelum ini olahraga dan renang jadi sebutan pada Sukan SEA 2015 kerana gagal menyerlah namun dua sukan ini membuktikan atlit mereka tetap berdaya saing sehingga membawa kejayaan ke Olimpik. 

Sukan badminton juga bakal menyaksikan skuad negara akan ada penyertaan dalam semua kategori dipertandingkan dengan senarai ranking 5 Mei depan akan mengesahkan atlit badminton yang layak ke Rio. Kita juga menanti atlit dari sukan Golf serta mungkin penampilan gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi yang kini dalam senarai menunggu.

Jadi, layak ke Sukan Olimpik sudah saya anggap sebagai sebuah kejayaan, namun perjuangan mereka tidak terhenti setakat layak ke Rio kerana saya percaya mereka juga mahu buktikan kepada diri sendiri kemampuan beraksi di pentas tertinggi dunia.

Ayuh atlit Malaysia! Buruan emas sulung Olimpik bermula dari sekarang! #ayuhmalaysiaku!

 

Advertisement

Must Watch Video