Skip to main content

Rencana

Lari Tok Da lari

100m-old-women.jpg

Warga emas Amerika Syarikat (AS), Ida Keeling bukan individu tertua dunia, namun dia contoh gaya hidup sihat global.

Pada usia 100 tahun, Ida menyertai Kejohanan Olahraga Penn Relays di Philadelphia, AS dan mencatat rekod dunia acara 100m bagi usia atas 100 tahun.

Bekas atlit olahraga AS era 1930-an ini mencatat 1 minit 17 saat.

Ia bukan soal catatan masa, tetapi semangat dan kemampuan melakukan aktiviti riadah yang memerlukan tenaga seperti orang muda.

Dia memberitahu akhbar AS: "Rahsia kekal cergas ialah diet pemakanan yang betul dengan pengambilan serat, sayur-sayuran, senaman sejam sehari dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya juga melakukan kerja rumah seperti memasak dan membasuh baju," katanya.

Di Malaysia, adakah kita berpeluang atau mampu melakukan perkara sama?

Ada yang bekerja lebih 12 jam sehari, makan tidak tentu masa selain mengalami depresi setiap hari.

Adakah golongan ini mampu mengulangi pencapaian atau lebih tepat, mencapai usia Ida?

"Bagi yang bekerja waktu pejabat (9 pagi-5 petang), mereka lebih berpeluang berada dalam kelompok zon hidup seimbang. 

Selepas tamat waktu bekerja, masih ada masa untuk beriadah di kawasan perumahan seperti berjoging atau bermain bola sepak.

"Bagi yang lebih sibuk, mereka tiada alasan...mesti cari jalan untuk bersukan sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi tiga kali seminggu. 

Apa yang paling penting, perlu hidup sihat dan gembira selepas persaraan," kata seorang peminat sukan.

Contoh yang baik ialah bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Khalid Yunus yang aktif mendaki gunung walaupun sudah mencapai usia 74 tahun.

Saya bercakap mengenai Gunung Everest, Kala Pattar di Nepal atau Gunung Cairngorms Aviemore (Scotland) dengan suhu lebih 10 darjah celsius dibawah takat beku.

Beliau mungkin terlalu ekstrem tetapi ini bukti orang Malaysia juga gagah.

Saya juga nekad memperbaiki jadual harian dengan Ida sebagai penanda aras. Sekurang-kurangnya jika masih mampu berlari 100m pada tahun 2065, mungkin peluang untuk jadi ikon gaya hidup sihat global. 

Advertisement

Must Watch Video