Skip to main content

Rencana

Klopp "badi" Guardiola

klopp-pep.jpg

Sejak Pep Guardiola menyahut cabaran saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), beliau telah membuatkan pakar bola sepak, penonton, bekas pemain, peminat dan sesiapa yang terlibat kagum dengan kemampuannya selaku pengurus pasukan Manchester City.

Corak permainan diterapkan Guardiola bersama The Citizens menghadirkan keterujaan. Hantaran pantas, taktikal yang ampuh serta jumlah jaringan yang terhasil amat menakjubkan. City telah memenangi Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut tetapi beliau tidak pernah berhenti diberikan tentangan oleh seorang pengurus --Jurgen Klopp.

Kedua-dua pengurus tersebut telah bertemu sejak berkhidmat dalam saingan Bundesliga bersama Bayern Munich dan Borussia Dortmund di mana masing-masing merakamkan empat kemenangan.
 
Di England pula, Klopp berjaya mendahului Guardiola bersama Liverpool dengan menewaskan City lima kali sementara Guardiola mencatatkan tiga kemenangan.

Oleh itu, ia bukan satu kejutan bahawa kutipan mata paling rendah buat Guardiola adalah ketika berdepan Klopp.

Manchester City bermain "high press" dan mendominasi permainan di bawah bimbingan Guardiola tetapi Klopp telah berjaya menemui jalan mengatasinya. 

Klopp menerapkan keseimbangan dalam strateginya dan corak serangan balas adalah jalan mematahkan ancaman City dan ia berhasil.

Liverpool turut dikenali dengan permainan "high press" dan gandingan Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah berjaya menggugat keampuhan City. 

Jentera pertahanan The Reds pula semakin berkualiti sejak hadirnya Virgil Van Dijk, Andrew Robertson dan Alexander Trent-Arnold. 

Kita kerap disajikan dengan corak serangan City yang bermula menerusi pemain pertahanan sayap tetapi ketika mereka berdepan skuad bimbingan Klopp, tugas mereka kelihatan sukar dan terpaksa memilih untuk bertahan bagi mengawal pergerakan trio serangan Liverpool.

Ia telah membuatkan Guardiola terpaksa mengubah strategi dan memaksa beliau memilih untuk bertahan ketika Liverpool mengawal permainan dan menyerap tekanan, sesuatu yang jarang dilakukan pengendali kelahiran Sepanyol itu. 

Ini menjadi faktor pengawalan bola City lebih rendah ketika bertemu Liverpool berbanding pasukan lain.

Ketika perlawanan lalu, Liverpool mengambil kesempatan untuk awal mendahului permainan dengan peluang yang digunakan sebaik mungkin. 

Walaupun City mula menghadirkan ancaman menjelang perlawanan menuju penghujung, ia sudah terlewat dan mereka kerap melepaskan peluang. Keputusan 3-1 mengaburi prestasi City yang turut memberikan tentangan tetapi tuah memihak Liverpool.

City sudah tewas tiga kali musim ini dan intensiti permainan mula menghukum mereka. City turut kehilangan beberapa khidmat tonggak utama ekoran kecederaan dan ia menjadi faktor usaha mereka untuk mempertahankan gelaran buat kali ketiga terjejas.

Liverpool pula meneruskan permainan cemerlang, kehilangan hanya dua mata ketika seri dengan Manchester United dan menang dalam setiap perlawanan liga setakat ini.

Persembahan mereka meletakkan mereka status pilihan juara, namun musim masih panjang dan kecederaan mungkin akan berlaku. Mengekalkan prestasi yang berkualiti menghadirkan penurunan buat Liverpool.

Ia merupakan persaingan sengit di antara Guardiola dan Klopp. 


Jika berdasarkan bilangan gelaran, Guardiola mendahului, namun Klopp memiliki lebih banyak anugerah individu. 

Dengan berkelebihan sembilan mata ke atas City, Klopp di landasan terbaik untuk muncul juara EPL musim ini.

Advertisement

Must Watch Video