Skip to main content

Rencana

Khidmat De Paula, Liridon masih perlu?

liridon-de-paula.jpg
"Kalau de Paula tu mesti dah gol." 

Itu kata-kata yang pernah dilontarkan oleh individu penting bola sepak negara merujuk kepada aksi Harimau Malaya ketika menentang Emiriah Arab Bersatu UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil, September lalu.

Perlawanan itu menyaksikan skuad negara dihidangkan deretan peluang jaringan tetapi dihampakan dengan ketumpulan penyudah hingga menyebabkan kekalahan 1-2 sekali gus kekalahan pertama Malaysia di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Individu berkenaan berasakan keputusan perlawanan tersebut mungkin berbeza andai jentera serangan negara digalas penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula. Umum tahu, de Paula merupakan calon pemain naturalisasi negara selain Liridon Krasniqi.

Kedua-duanya hanya menunggu masa untuk dinaturalisasikan menjelang genap 5 tahun mereka bermastautin di negara ini iaitu pada Mac 2020. Namun, persoalannya apakah khidmat de Paula dan Liridon masih diperlukan?

Sukar untuk menjawab persoalan ini kerana skuad negara yang dibarisi rata-rata anak watan telah membuktikan kemampuan beraksi di peringkat tertinggi. Apatah lagi, prestasi skuad negara kian meningkat sejak di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.

Sepanjang musim 2019, skuad negara merekodkan sembilan kemenangan daripada 13 perlawanan, menghasilkan 31 jaringan tatkala dibolosi sebanyak 11 gol. Malah, Cheng Hoe juga berupaya menguntum senyuman apabila pasukannya menutup musim 2019 dengan nota kemenangan.

Kejayaan menundukkan Indonesia 2-0 di hadapan ribuan penyokong negara Selasa lalu hasil ledakan anak muda kelahiran Dungun, Terengganu, Safawi Rasid kembali menyalakan api perjuangan Harimau Malaya dalam merintis kemungkinan ke pentas Asia.

Peluang itu dilihat lebih cerah oleh sesetengah pihak andai pemain seperti de Paula dan Liridon dapat memperkuatkan skuad negara untuk baki tiga perlawanan kelayakan tahun depan iaitu dua aksi tempat lawan bertemu UAE dan Thailand tatkala berdepan Vietnam di laman sendiri.

Pendapat saya, kehadiran mereka mampu memberi impak berlainan kepada pasukan tetapi pemain sedia ada sudah menunjukkan kemampuan beraksi tanpa tambahan pemain naturalisasi. Lantas, terpulang kepada Cheng Hoe untuk memanggil de Paula dan Liridon atau sebaliknya.

Demi kebaikan bola sepak negara, saya percaya Cheng Hoe lebih tahu apa yang dilakukannya!

Advertisement

Must Watch Video