Skip to main content

Rencana

Kesempatan buat Neymar bayar hutang

neymar-cover-pix.jpg
Harus ia kesempatan terbaik untuk Neymar melunaskan hutang-piutangnya.
 

Peluang kini tertampil buat bintang Brazil itu memacu kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), menyertai kelompok elit dengan bergelar pemenang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas pemilik kelab itu dari Qatar melaburkankan £200 juta (RM1.09 billion) untuk menandatanganinya pada 2017.
 
PSG akan berdepan Bayern Munich dalam final di Lisbon malam esok (3.00 pagi Isnin waktu Malaysia) dan sumbangan besarnya amat ditagih untuk mengecap kejayaan terbesar itu buat julung-julung kalinya.
 
Dan, betapa nasib telah banyak berubah buat penyerang berjersi nombor 10 itu yang awal musim ini dicaci dan dicerca penyokong gara-gara meluahkan keinginan meninggalkan kelab berkenaan untuk sama ada kembali ke Barcelona atau menyertai Real Madrid.
 
Jika pasukannya mampu mengatasi Bayern Munich, seperti disorot akhbar Daily Mail, tidak syak lagi Neymar akan mengangkat darjat PSG sebagai sebuah kelab terbilang.
 
Namun, usah disalahertikan. PSG sememangnya sebuah kelab besar jika dibandingkan dengan yang lain-lain. Mereka dibiayai oleh pelabur kaya-raya dari Qatar serta memiliki antara bintang ternama dunia. Cuma, projek besar mereka belum menghasilkan kejayaan dicita-citakan.



 
Menjuarai UCL sudah menjadi semacam satu kemestian. Andai itu mampu digapai, revolusi PSG yang diinspirasikan oleh Neymar akan lengkap kesudahannya.
 
Ia memerlukan 11 pemain atau lebih untuk menjuarai kejohanan sebesar ini dan Neymar tidak bersendirian. Namun, penyokong PSG tidak harus dipersalahkan andai mereka beranggapan Neymar tidak didatangkan ke kota Paris pada 2017 sekadar untuk memenangi Ligue 1 – mereka mahukan lebih daripada itu.
 
Juga tidak menghairankan apabila lebih sedikit daripada setahun lalu, Neymar disisihkan daripada perlawanan pembukaan musim menentang Nimes apabila ura-ura Neymar mahu angkat kaki mula terdedah, dengan pemain itu seolah-olah baru sedar yang perpindahannya ke Paris adalah satu kesilapan.
 
“Berambuslah Neymar,” demikian antara kain rentang sebagai menyerlahkan kemaran penyokong ketika itu hingga ada yang melabelkannya sebagai pemain paling menjengkelkan dalam sejarah PSG.
 
Hairannya ia musim sama yang menyaksikan Neymar kini memikul tugas penting dan menggalas harapan besar buat PSG di ambang final UCL.
 
Sejak kemasukan semulanya dalam kesebelasan pengurus, Thomas Tuchel, pada 26 November, Neymar menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut untuk PSG kesudahannya ditabalkan juara Ligue 1 yang disingkatkan, 12 mata mengatasi Marseille di tangga kedua.
 
Di majlis hari jadinya yang ke-28, Neymar mengumumkan buat kali pertama betapa dia amat gembirra berada di Paris dan akan melakukan apa saja untuk membantu kelabnya menjulang trofi terbesar itu.
 
Akhir-akhir ini, Neymar seakan-akan mendapat nafas baru hasil etika kerja yang diterapkan Tuchel untuk menyaksikan kemaraan mereka ke perlawanan kemuncak.
 
Andainya bergelar juara, ia akan menghadirkan impak teramat besar – setiap franc atau Euro yang dibelanjakan ke atasnya akan dinilai sangat berbaloi di samping legasinya yang akan berkekalan.

 
 

Advertisement

Must Watch Video